Bingkisan ini ku titipkan buatmu teman
Saat dikau di dalam kesulitan
Ingatlah aku ada setia menitip sebuah tulisan
Buatmu dan buatku agar kita tidak terputus dari
tali iman
Bicara ini juga hembusan rinduku buatmu teman
Saat kita berada dalam ujian jangan kita lupa
pada erti Ber Tuhan
Tika kita di tampuk kejayaan jangan sekali kita
alpa dengan setiap pujian
Dengarlah..dengarlah bingkisan sanubari ku ini…..
Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Allah maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya. Sabar dan redha itu kunci
sebuah kejayaan. Istiqamah dalam perlakuan itu tanda kita insan yang beriman.
Hidup kita ini sering kali diberikan ujian. Ujian di dalam kesulitan pasti akan
kita lalui. Tetapi kita juga perlu ketahui bahawa Allah hadirkan ujian
berbentuk ‘kejayaan’. Kejayaan yang kita terima juga adalah merupakan satu
ujian buat diri kita. Bahkan ujian ini lebih berat dari ujian kesakitan dan
kesulitan yang kita hadapi di dalam hidup.
Tatkala kita mencapai kejayaan,
pujian juga turut berjalan seiringan, hati yang dulunya merendah kini mula
mendabik megah. Alangkah kita rasa besar pada ketika itu. Kita lupa pada si
pemberi nikmat dan ujian. Kita bangga mempamerkan segala kejayaan yang ada di
dalam diri kita. Kita lontarkan di laman sini dan sana. Melihat kenalan yang
menghamburkan pujian dan kesukaan. Lantas terlupa pada diri yang takut akan
sifat ujub dan bongkak. Walau kita tahu bukan untuk membangga tetapi sifat itu
pasti ada kerana itulah lumrah manusia. Allah mengurniakan sifat dan rasa yang
pelbagai buat diri mereka. Sedih,Marah, Gelisah, Ikhlas, Sabar, Ujub dan
gembira antara rasa yang dikurniakan Allah dalam kehidupan kita. Terpulang pada
diri untuk mentadbir sifat itu dengan sebaiknya.
Mengapa perlu kita tagih pujian
sedangkan kita tahu kita adalah hamba yang paling lemah. Antara Redha dan
penghormatan dari insan yang mana menjadi pilihan kita. Mungkin ada yang
memberi puji dengan kejayaan kita itu dan mungkin juga ada yang melontarkan
keji terhadap kejayaan kita kerana satu rasa yang akan hadir dalam diri mereka
yang dinamakan sebagai cemburu! Terkadang kita lapik perasaan riak kita itu
dengan kata ‘malu’ hakikatnya kita megah dengan apa yang diberikan. Semua orang
inginkan pujian tapi ingatlah kadang pujian itu juga boleh menjadi senjata
tajam yang boleh membunuh diri kita. Bahkan boleh menjadi racun yang paling
berbisa di dalam merosakkan hati kita. Berlindunglah dari sifat takbur dan
riak.
Teman, bicaralah pada diri..setiap
kejayaan yang kita tempa perlukah kita bicarakan kesemuanya. Jika perlu untuk
apa? Untuk memberikan motivasi pada yang melihat atau mendengarnya? Bisiklah
pada hati, untuk apa kita ceritakan andai ini membawa kepada murka Tuhan.
Kejayaan itu boleh dikongsi tetapi perlu ada jalan yang baik dan suci bukan
memperlihatkan kehebatan yang ada pada diri. Ini melanggar hukum azali bahkan
membawa kepada kerosakan di dalam hati. Benar kejayaan kita boleh dijadikan
motivasi buat semua tetapi bukan menunjukkan apa yang kita perolehi itu tetapi
tunjukkanlah bagaimana jalan kita memperoleh kejayaan itu! Menunjuk bukan
menunjuk-nunjuk!. Bukan sekadar meletakkan potret kejayaan di laman maya tetapi
titipkanlah sekali jalan bagaimana kita memperoleh kejayaan itu.
Hidup ini tidak selamanya kita
berada di puncak dan hidup ini juga tidak akan selamanya kita berada di dasar.
Apa yang paling penting adalah perubahan di dalam diri kita. Melihat kejayaan
orang lain tanpa kita berusaha dengan gigih untuk memperoleh kejayaan itu juga tidak akan membantu kita mengubah
apa-apa bahkan hanya yang ada sebuah rasa yang dinamakan cemburu. Cemburu tanpa
melakukan tindakan yang bernas tidak cukup untuk kita melakar sebuah kejayaan.
Cemburu bukan bermakna kita perlu mencantas, cemburu bukan bererti kita perlu
menjatuhkan sesiapa tetapi cemburu merupakan suis untuk kita melakukan
perubahan di dalam diri kita.
Barangsiapa yang mengakui tiga
perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia
adalah orang yang tertipu.
1. Orang yang
mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.
2. Orang yang
mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia INGIN MENDAPAT SANJUNGAN
MANUSIA.
3. Orang yang
mengaku cinta kepada tuhan yang menciptakannya tetapi dia TIDAK BERANI
MERENDAHKAN DIRINYA.
No comments:
Post a Comment