Dengan nama Allah yang
maha pengasih dan maha penyayang. Syukur Allah masih memberi kita nyawa untuk
terus berada di dunianya ini. Dunia yang penuh pancaroba juga penuh racun di
dalamnya. Maha suci Allah yang masih memberikan kita nikmat yang tidak
terhingga yakni nikmat sihat dan bahagia. Mari kita renung sejenak seandainya
nikmat itu, Allah menariknya kembali. Astaghfirullah, berat rasanya untuk kita
terima. Allah menarik nikmat sihat dan Allah memberikan kita sakit. Itu adalah
ujian!
Makanan dan minuman
penyambung hayat kita untuk meneruskan kehidupan. Maha suci Allah yang turut
memberikan nikmat kekenyangan buat kita semua. Bayangkan seandainya jika sudah
kehilangan nikmat itu yakni nikmat makan. Allahu Akbar…Masih segar diingatan
saya tatkala mengenangkan kisah cinta saya bersama Allahyarham nenda tercinta
yang baru sahaja pergi menghadap Pencipta. Saya redha dengan suratan ini.
Allahyarham nenda selalu berpesan jagalah dan hargailah nikmat yang Allah
berikan kepada kita. Andai Allah menariknya kita pasti sukar untuk
mendapatkannya kembali.
Saat Allahyarham nenda
diuji sakit, teringat kata-katanya… “Allah
dah tarik nikmat sihat dan nikmat makan atuk, Atuk redha, sebagai hamba Allah
kita kena senantiasa bersyukur kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik
buat kita. Ini sudah janji atuk yang telah Allah takdirkan. Apa pun keadaan
Allah yang kita perlu utamakan”
Pesanan itu, sentiasa
subur dan harum di hati saya. Atuk juga berpesan..jagalah kesihatan kerana
penyakit ini datangnya seperti angin..cepat! tetapi kesembuhannya seperti semut
yang berjalan di laluan yang panjang. Mengambil masa yang lama. Allahu Akbar,
nikmat sihat ini yang amat kita impikan. Benar kata atuk, jika sakit..harga
kesihatan itu kita rasakan teramat mahal!
Allah rindunya pada
Allahyarham atuk, rindu itu tiba-tiba datang melamar saya. Air mata merisik
tanpa henti. Hanya kalam indah dari Allah saya jadikan bekal buat atuk di sana.
Allah jaga atuk saya. Insya Allah.
Sakit
itu penghapus dosa, benar! Tapi, adakah bila kita sakit baru kita rasa kita
hamba yang berdosa?? Sekali lagi persoalan atuk membuat hati
saya lara…lara bukan bererti kecewa lara kerana kini saya tidak dapat lagi
mendengar nasihat yang paling berguna dari atuk.
Atuk berpesan..jangan
bila kita sakit baru kita hendak mengingat Allah. Allah itu senantiasa di hati
dan diingati bukan sekali tapi setiap hari dan selama-lamanya. Istighfar selalu..
tambah atuk..Allah rindunya hati ini kembali bertaut, namun apakan daya sudah
suratan takdir dariMU yang maha merencana. Terima kasih Allah dikau menghadirkannya
buat kami sekeluarga. Terima kasih yang Allah dikau meminjamkannya walau
sementara cuma.
Alhamdulillah, segala
puji bagi Allah yang memberikan peluang untuk saya menjaganya di kala beliau
dalam keuzuran sehinggalah beliau bertemu takdir dan suratan hidupnya. Maha
suci Allah juga yang memberikan saya peluang untuk menguruskan jenazahnya buat
yang terakhir kalinya. Wajah itu dahulu, yang senantiasa tersenyum dan memberi
keriangan saat saya ditimpa kehampaan, wajah itu yang dulu senantiasa
mengirimkan saya doa kekuatan saat saya berada di landasan kesedihan. Allah,
sekejap benar masa itu berlalu. Terlalu pantas dan amat pantas. Maha suci Allah
juga kerana sempat memberikan saya ruang untuk menjaganya sebelum matahari
tinggi memancar. Waktu fajar yang merupakan fajar terakhirnya untuk melihat
dunia.
=========================================
Atuk,
abang takkan pernah lupa segala pesanan atuk kepada abang. Atuk, abang mohon
sejuta kekhilafan andai tidak dapat menjadi cucu yang terbaik. Abang dah mencuba
sedaya abang untuk menjaga atuk. Maafkan abang atuk, jika atuk terguris. Tapi
percayalah atuk, abang tak pernah sesekali akan melupakan atuk. Al-Fatihah dari
abang senantiasa menjadi peneman buat atuk pada setiap malam. Atuk, abang minta
maaf andai terlupa atau sengaja melupakannya untuk membaca kalam Allah itu.
Insya Allah atuk, abang senantiasa berikan atuk bekal buat di sana. Abang masih
ingat saat atuk menyuapkan makanan kepada abang saat abang masih kecil, atuk
akan pastikan abang kenyang. Atuk risau jika abang tak makan. Walau makanan
kurang tapi Atuk tetap berkata ‘ada lagi.”Atuk…terima kasih mendidik abang
sehingga abang berjaya sampai ke tahap ini. Atuk, maafkan abang tak dapat
tunaikan janji abang untuk atuk melihat siapa pasangan hidup abang. Maaf atuk,
abang masih tidak tahu siapa jodoh abang dan bila ia tiba abang pasti akan
menunjukkannya tapi……atuk…
Atuk,
maafkan abang atuk..dulu abang pernah berjanji…gaji pertama abang…akan abang
kongsikan dengan atuk..tapi maafkan abang..atuk.abang tidak sempat…atuk pergi
sebelum abang mendapat kerja. Insya Allah, atuk akan merasa bahagiannya juga.
Dari
kecil sampai abang dewasa atuk tidak pernah meninggikan suara..nasihat atuk
penuh hemah bicara atuk senantiasa terselit dakwah. Allah ..rindu sekali lagi
datang melamar…
Atuk,
abang masih ingat dulu ketika abang merajuk dengan mak, atuk yang datang
memujuk. Atuk pesan…jangan sesekali berkecil hati dengan ibu kita kerana di
situ syurga kita. Ibu itu suci hatinya, tulus jiwanya. Dia sayang pada kita.
Terima kasih atuk mendidik abang tanpa rasa jemu.
Atuk,
sekarang atuk sudah kembara di alam sana meninggalkan alam nyata. Abang yakin,
atuk bahagia di sana, Dalam mimpi abang, atuk senantiasa tersenyum..sentiasa…Andai
dapat di ulang masa..tapi sudah tertulis…atuk tunggu abang di syurga ya. Insya
Allah jika Allah izinkan kita semua pasti akan ke sana. AL-FATIHAH BUAT ABDUL
MAJID B.DAHAMAN (13/1/2014)
No comments:
Post a Comment