Labels

Pages

Followers

Friday, June 21, 2013

Setia itu Menyakitkan???


Salam pertemuan buat semua. Satu soalan saya hari ini buat teman-teman semua. Bagaimana hati dan iman anda hari ini? Masih ‘sihatkah’. Alhamdulillah. Setia itu menyakitkan? Benarkah ungkapan ini? Ungkapan ini begitu popular pada pasangan yang baru sahaja mengalami kemalangan di dalam percintaan mereka yakni putus atau suami isteri yang mengalami kecurangan pasangan hidup mereka. Moga kita di jauhi dari segala fitnah dunia ini. Ameen

Kalau tidak mampu untuk setia jangan sekali kita mengenal cinta.” Indah betul ungkapan ini. Mungkin ada yang memahaminya pada tafsiran yang berbeza. Pertama kali melihat saya agak terjatuh hati dengan kata-kata ini. Tapi kali kedua melihat dan memikirkannya membuatkan hati saya mula mempersoalkannya. Sebenarnya cinta yang bagaimana yang boleh didasarkan dengan makna setia. Kita harus memahaminya sedalam-dalamnya. Ramai yang beranggapan ‘orang ketiga’ itu adalah punca yang menjadi keretakan dalam hubungan cinta dan rumahtangga. Kita sering menyalahkan orang ketiga tetapi mengapa kita tidak merujuk kepada ‘orang pertama’ dan ‘kedua’ yakni pasangan yang sudah ada tali ikatan cinta itu sendiri? Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya.

Mengapa pasangan kita berubah hati kepada yang ketiga kerana kita tidak mampu mendidik hati kita untuk menjaga hatinya. Saya ulangi kerana kita tidak mampu mendidik hati kita untuk menjaga hatinya. Bagi memahami apa yang saya jelaskan tadi mari kita memahami apa yang dimaksudkan dengan cinta itu. Cinta atau hub atau pyar atau love atau mohabbatein ini banyak di sebut di dalam Kalam Allah kerana ia mempunyai maksud yang indah. Cinta itu fitrah dan sememangnya ada pada setiap makhluk yang diciptakan oleh Allah. Bercinta itu tidak salah tetapi melanggar hukum cinta itu yang salah. Menghalalkan yang haram itu yang membawa kepada mazmumah. Boleh menghalalkan yang haram tetapi perlu betul caranya. Bagaimana? Nikah.

Jika bertunang adakah masih halal untuk menjalinkan cinta? Haram sekiranya kita melanggar segala yang dilarang di dalam agama seperti bersentuhan atau berpimpinan tangan. Kerana dia masih belum halal untuk kita dan masih dia belum mahram kita. Bertunang itu hanya adat bukan syariat. Maka harus dijaga setiap perlakuan kita. Zina hati terutamanya. Kata orang, apabila kita bertunang ini banyak dugaannya dan saya menambah lagi bahaya dugaannya. Cinta boleh jadi dendam jika tidak dijaga dengan mendalam! Cinta juga boleh menjadi kesumat jika tidak dikawal dengan cermat!

Apabila bertunang, rindu di hati makin mekar semekar bunga di taman. Dugaan pasti hadir dalam tempoh itu. Jika tiada kawalan atau ketetapan iman pasti akan merobohkan ikatan yang membawa ke alam perkahwinan itu. Oleh itu, kawallah hati nescaya kita akan mampu mengawal diri! Setia itu bukan mudah tetapi tidak susah jika semuanya kerana Allah. Jika matlamat betul dan jodoh yang kita pilih itu adalah tepat dengan kita pasti hati kita susah untuk berubah atau tergelincir dari setia. Namun, jika sebaliknya pasti akan berlaku perkara yang mendukacitakan kita tetapi percayalah setiap kejadian pasti ada hikmahnya.
Mendidik setia itu sukar tetapi boleh dikawal bukan dengan pandangan mata tetapi dengan pandangan mata yang ada pada dada yakni hati!.

Jika setia kita bentuk dengan hanya pandangan mata, maka apabila berlaku ‘pameran’ kecantikan wanita di hadapan mata kita. Kita akan jadi buta. Buta memilih antara yang indah dan sedap untuk di pandang. Apabila kita melihat rupa mungkin kita keliru dan buntu. Masih tercari-cari yang paling cantik. Percayalah kecantikan manusia itu takkan kekal hanya Allah sahaja yang maha kekal. Zaman sekarang ini berbeza, apa guna rupa yang cantik jika banyak penyakit! Apa guna wajah yang tampan jika tidak mampu melaksanakan suruhan Tuhan.

Berbalik pada ungkapan tadi. Sebenarnya setia itu tidak menyakitkan bahkan membahagiakan walaupun kita disakiti. Tetapi ada yang berkata luka di jiwa lebih dalam dan lama kesannya dari luka yang ada pada tubuh badan kita. Tetapi kedua-duanya tetap meninggalkan kesan dan parut! Kita perlu mengenal cinta! Kita perlu mentadbir setia! Tetapi bagaimana cara dan pelaksanaannya? Jawapannya kenal cinta DIA dahulu. Kita mengaku kita tahu Allah itu ada tetapi kita tidak benar-benar kenal bahawa Allah itu ada dengan kita bahkan sentiasa memerhatikan setiap gerak-geri kita. 

Apabila kita disakiti atau dicurangi pernahkah kita menyoal kembali diri kita. Adakah kita pernah menyakiti Allah dan mencurangi kasih Allah kepada kita. Kita sudah lupa ‘si pemberi’ kasih dan cinta apabila kita bertemu dengan ‘dia’ di dunia. Kita bercinta kemudian putus kemudian bertemu lagi kemudian putus lagi kemudian bertemu kembali. Takdir dari Allah. Apabila berlaku perkara yang menguji hati dan perasaan kita, barulah kita akan kembali kepada Allah. Mujur masih diberikan hati untuk berubah. Itu tanda hati kita masih belum mati lagi. Acap kali kita melakukan dosa dan acap kali kita bertaubat. Kita bersih dan suci. Tetapi pernahkah kita berfikir sudah berapa kali kita berlaku curang terhadap kasih Allah kepada kita?

Ketika bertemu dengan ‘dia’ kita percaya bahawa dia adalah jodoh kita dan datang dari Tuhan dan jodoh itu kita yang berusaha mendapatkannya. Maka dilaksanakan Istikarah, Doa dan Istiqamah dalam memilihnya. Tetapi sedarkah kita, adakah kita benar-benar sudah bersedia untuk mendapatkan jodoh kita itu. Saya ulangi soalan saya adakah kita sudah mampu dan sanggup ke alam tanggungjawab yang lebih besar? Tiada guna jika makan dan belanja pun masih ditanggung ibu bapa tetapi hati ‘gian’ hendak mencari jodoh yang mulia. Bagi mereka yang berkemampuan tidak mengapa tetapi bagi yang tidak, fikirkanlah sedalam-dalamnya. Apa guna mengejar syurga rumah tangga seandainya syurga di bawah telapak kaki pun masih terkial-kial mencarinya. Di dalam kehidupan ini kita harus tahu bahawa jodoh itu kita merancang memilihnya dan Tuhan juga merancang menentukannya. Percayalah bahawa jodoh dari Tuhan itu adalah yang paling tepat kerana dia Maha Agung dan Maha mengetahui. Bersabarlah.

Namun, jika kita rasakan cinta kita yang sekarang ini adalah milik kita dan dia sebenarnya kita sudah melakukan satu kesilapan yang agak besar. Ini bermakna kita sudah memberikan hati kita kepada dia dan berharap dia yang terawal dan terakhir atau dia yang kedua dan terakhir atau dia yang ketiga dan terakhir. Apabila bukan kerana Tuhan, cinta yang diberikan itu bertemu titik perhentian dan ujian maka apa yang dipanggil setia itu akan dikatakan sebagai satu kesakitan. Ingatlah apabila kita memiliki sesuatu jangan sekali-kali kita menganggap ia merupakan milik kita selama-lamanya anggaplah ia hanya pinjaman. Kerana jika kita meminjam kita harus memulangkannya kembali. Begitu juga dengan cinta, anggaplah ia pinjaman dari Tuhan. Jika nikmat itu ditarik balik kita tidak akan merasa kesakitan kerana ia sebenarnya MILIK TUHAN. Kita tiada daya untuk menghalangnya.

Jika hendak menilai setia mari kita renungi kisah Asiah isteri Firaun, dia setia kepada suaminya tetapi Allah yang utama. Dia diuji dengan suami yang zalim dan kejam tetapi dia yakin dengan percaturan Tuhan. Setia itu tidak menyakitkan tetapi memberi kebaikan. Apabila kita diduakan baru kita tahu kita juga telah menduakan cinta Tuhan! Setia itu membahagiakan! Walau hati disakiti tetapi ingat kita masih ada Ilahi bukankah dia yang mengurniakan hati kita? Kesetiaan itu pasti di balas. Jika bukan di dunia mungkin nanti di alam sana. Apa yang penting kita sentiasa berbaik sangka dengan Tuhan!

********
“Abang, awek saya minta putus la”
“Kenapa? Korang dah kenal berapa tahun?”
“Erm..lama jugak.dalam 5 tahun”
“Lama tue, apa alasan nak putus dengan kau?”
“Katanya nak berubah kerana Allah, dia tak dapat nak tumpukan pelajaran dan bukan ini yang dia harapkan dalam perhubungan.”
“Kau dah apa-apakan dia ke?”
“Ish takdela bang”
“Kau nak tahu kenapa dia bagi alasan tue dan minta putus dengan kau?”
“Kenapa? Saya takda masalah pun dengan dia dan saya setia dengan dia bang”
“Sebab dia ‘JEMU’..”
“Jemu??Kenapa abang cakap macam tue?”
“Hubungan yang dibina lama tanpa ada pengakhiran buatkan kita jemu, perkara yang dulu luar biasa ketika kita bertemu dengan dia sekarang sudah menjadi biasa-biasa sahaja, mesej, telefon, we chat, fb, twitter, whass up dan sebagainya membuatkan timbul satu perasaan iaitu JEMU!! Segala yang dia katakan itu hanyalah alasan tapi hakikatnya dia sudah jemu dengan kau!


p/s : pandangan dari kaca mata bebas. Dakwahku untuk semua.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...