Setiap orang menginginkan kesempurnaan
dalam hidupnya. Tidak kira dalam apa cara sekalipun semua kita inginkan sesuatu
yang baik kepada kehidupan kita. Lahir kita di dunia ini sudah tercatat di luh
mahfuz sana siapa jodoh kita, tarikh mati kita dan rezeki hidup kita. Semuanya telah
ada di dalam catitan Allah. Sebagai hamba yang mencari erti hidup kita
dibiarkan berkelana di dunia fana ini. Mengembara dan terus mengembara. Bermula
dengan badan kita yang tidak punya daya, yang mampu tersenyum dan menangis
kemudian kita merangkak dan mula berdiri. Indahnya zaman itu kerana kita masih
tidak punya dosa. Buat ibu dan bapa yang kematian anaknya ketika kecil jangan
gusar jangan bersedih kerana mereka telah menunggu anda di pintu syurga. Allahu
Akbar. Dan buat ibu bapa yang mematikan mereka ketika masih kecil juga jangan
gusar kerana Allah tahu segala hukuman yang akan diberikan kepada anda. Janji
Allah itu pasti.
Firman Allah dalam surah Al-Insan Ayat 2
yang bermaksud: “SesungguhNYA Kami telah menciptakan manusia daripada setitis
air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan
larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat”
Alam
bayi kita tempuh dengan jayanya, kita menjadi seorang kanak-kanak kecil yang
suka merengek minta itu dan ini dan senantiasa ingin dimanjakan. Alam kanak-kanak
kita inilah ibu bapa mula memainkan peranannya secara total. Di sini kita
diajar tentang tahu apa itu Tuhan dan bagaimana kita hendak mencintai Tuhan.
sedikit adab diterapkan dalam hidup kita. Soal adab ketika makan, adab bergaul
dengan orang dewasa, adab sebagai seorang anak telah diajarkan kepada kita.
Kita mula mengenal Alif ba ta dan kita mula bertatih untuk membaca ayat-ayat
suci Allah. Panjang kehidupan di alam ni. Walau tidak seindah zaman bayi kita
tapi di sinilah bermulanya kita belajar sesuatu. Kerana lumrah sifat seorang
kanak-kanak itu sentiasa ingin tahu dan mudah untuk mempelajari sesuatu. Pada ibu
bapa di luar sana, gunakanlah zaman ini untuk mendidik anak-anak anda tentang
ilmu yang berguna.
Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara:
mencintai Nabimu; mencintai ahlul baitnya; dan membaca al-Quran kerana orang-orang
yang memelihara al-Quran itu berada dalam lindungan singahsana Allah pada hari
ketika tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya; mereka beserta
para nabi-Nya dan orang-orang suci. - HR ath-Thabrani
Syukur
saya yang terhingga kerana dikurniakan keluarga yang punya didikan agama yang
baik, Alhamdulillah saya terkesan dan dengan izin Allah saya dapat meraih apa
yang ingin mereka hajatkan. Moga keluarga kami terselamat dari azab api neraka
dan fitnah Dajjal. Zaman-zaman kanak-kanak kita tinggalkan. Alam remaja kita
mulakan. Di sinilah titik cabaran dan dugaan yang kita rasakan. Satu kesakitan,
satu kepahitan, kemanisan, kebahagian kita cari dan kita hadapi pada zaman ini.
Jadilah soleh dan jadilah solehah. Ketahuilah, untuk apa kita hidup di bumi
Allah ini. Jangan kita sangka umur kita masih muda, kita akan ada untuk hari
tua dan jangan kita sangka bila usia menginjak hari tua kita tidak akan pergi
selama-lamanya. Kita sering risau tentang harta dan kejayaan yang tak pernah
cukup kepada kita tapi adakah kita pernah berfikir atau terfikir tentang
buih-buih dosa yang telah kita lakukan atau tanpa sedar kita lakukan dan juga
adakah taubat kita itu sudah diterima oleh Allah?
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan
dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu
dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu
sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui
Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang
diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. Surah al-Ankabut ayat: 2-3
Hidup ini terlalu singkat untuk kita
mencari kebahagiaan dunia, gapailah redha Allah dan setialah pada janji Allah
itu. Kita sangka kita calon Ahli syurga tapi bagaimana pula dengan ahli keluarga
kita? Kita menegur orang-orang yang ada di sekeliling kita dan bahagia apabila
mereka berubah tapi adakah kita juga mampu menegur ahli keluarga kita?
Sanggupkah kita juga membiarkan mereka terus hanyut dengan kenikmatan dunia. Bawalah
bersama, bimbinglah mereka dengan apa yang kita daya. Kita juga bukan manusia
sempurna tetapi kita punya rasa untuk berada di sebuah perhentian yang paling
indah dan yang paling bahagia itulah dia Syurga Firdausi. Jangan sesekali kita
berputus asa dalam mencari keredaan Allah ini.
“..dan janganlah kamu berputus asa dari
rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum
yang kafir” –Surah Yusuf ayat 12
Jika dahulu diri kita penuh maksiat tapi
kini kita ubat dengan taubat, jika dahulu kita sering melakukan dosa tapi kini
kita sembuhkan dengan doa, jika dahulu diri kita sering terjerumus dengan
lembah zina tapi kini kita bentuk dengan iman dan taqwa. Kukuhkan hati kita
pada DIA yang mencipta. Marilah sama-sama kita menuju perubahan. Mungkin esok
masih ada dan mungkin juga esok sudahkan tiada. Selagi waktu masih berdetik selagi
malam masih diganti siang teruskanlah tekad dan berusahalah untuk ke arah yang
lebih baik. Moga kita menjadi calon-calon syurga. Ameen.
“Maka hendaklah manusia memerhatikan dari
apakah dia diciptakan? Dia diciptakan dari air yang terpancar. Yang keluar dari
antara tulang sulbi dan tulang dada. Sesungguhnya Allah benar-benar kuasa untuk
mengembalikannya (hidup sesudah mati)”- Ath –Thaariq ayat 5-8
dan
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga,
padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku
kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan
(kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan
ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman
yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah
sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang
teguh kepada agama Allah). Surah Al-Baqarah
ayat: 214
1 comment:
suka baca post awak! banyak benda baru sy belajar :)
Post a Comment