Labels

Pages

Followers

Sunday, December 23, 2012

Hanya kerana Namamu Wanita




“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang mencipta kamu dari diri yang satu (iaitu Adam) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.”
 Surah An-Nisa ayat 1

Allah menciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Lumrah sama seperti penciptaan alam yang ada pasangannya begitu juga dengan makhluk yang bernama manusia. Itulah hebatnya Allah. Raja segala raja. Allah menciptakan suatu kehidupan yang indah di dunia ini bukan sebagai tempat untuk kita mencari segala penghargaan manusia tetapi tempat untuk kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai hambanya yakni persediaan untuk kita berada di dalam kehidupan selepas mati nanti.

Hakikat CINTA itu lahir dari syurga. Syurga yang maha indah dan penuh kenikmatan namun Nabi Adam yang masih berada di dalam syurga masih ada lagi kelompongan dan kekosongan di dalam hatinya. Allah s.w.t maha tahu. Allah ciptakan nenda kita siti Hawa sebagai pasangan kepada datuk kita, Nabi Adam. Bermula dari saat itu berputiklah cinta. Dan kemudian cinta itu didamparkan di dunia, penuh ujian dan dugaan dan bagaimana cinta yang baik itu akan kembali balik kepada yang baik. Cinta yang bermula di Jannah akan kembali pulang Jannah. Cinta itu berputik di syurga. Lahir dari orang yang baik seperti Nabi Adam.

Bukan soal cinta yang ingin saya khususkan pada perbincangan kali ini tetapi soal makhluk yang bernama Wanita. Hati nabi Allah Adam menjadi lunak tatkala Allah menghadiahkan pasangannya yang bernama Siti Hawa. Cinta mereka tiada tolok bandingnya. Dialah wanita yang pertama yang telah membahagiakan hati seorang lelaki. Wanita itu lembut sifatnya, manis senyumnya dan teguh hatinya. Tutur katanya sopan, akhlaknya penuh keperadaban.

Selalu kita mendengar pergaduhan jantina siapa yang lebih hebat. Sang lelaki dengan angkuh menyatakan dialah kaum yang hebat dan kuat tetapi hakikat masih ada yang lumpuh ketika subuh mendekat. Wajah kacak tapi pudar akhlak tiada langsung gunanya kepada kita bahkan kepada agama. Lelaki yang punya rupa tetapi kosong jiwanya tidak akan mampu mendidik seorang insan yang bernama wanita. Ada juga sang lelaki yang berperwatakan separa, sebahagian lelaki dan sebahagian lagi sebaliknya. Mereka juga berbangga dan menyatakan ‘jantina’ mereka juga tidak kurang hebatnya tetapi masih tiada gunanya kerana mereka masih berada di dalam zon kecelaruan. Saya bukan hendak menyalahkan kaum ini tetapi marilah sama-sama kita berdoa moga-moga mereka berubah. Mereka juga seperti kita inginkan bimbingan bukan cacian atau kejian. Islam itu indah dan dakwah itu perlu diperindahkan dengan seninya agar segala isi yang kita ingin sampaikan lekat dan kuat di hati mereka.

Golongan wanita juga tidak kurang hebatnya bahkan akan mudah melenting apabila kemampuan mereka dipersoalkan. Kata mereka, lelaki dan wanita pada zaman ini sudah tidak ada bezanya. Bahkan segala-galanya hampir sama, soal jawatan, pangkat, kedudukan, ekonomi dan politik golongan wanita sudah berjaya menyaingi kaum yang bernama lelaki. Lihat sahaja di institusi pendidikan, bermula di tadika sehinggalah di menara gading sana semuanya dikuasai oleh golongan wanita. Itu bukti mereka sudah memiliki kuasa lebih dari sang lelaki. Tetapi apa guna kecantikan yang menawan jika akhlak rosak melebihi kelakuan syaitan apa guna kepandaian tetapi digunakan untuk merosakkan fikiran insan dan apa guna kuasa jika itu memberikan sengsara pada mereka.

Cintanya Rasulullah terhadap golongan wanita. Baginda menjadi pelindung kepada golongan ini. Lihat sahaja bagaimana beliau menyantuni isteri-isterinya dan anak perempuannya. Penuh kelembutan penuh keikhlasan. Tutur katanya senantiasa dirindukan mereka. Langsung tiada lafaz herdik tetapi setiap bicara yang keluar dari kalamnya penuh mendidik. Hebatnya cinta Rasulullah kepada mereka dan kita. Wahai insan yang bernama lelaki jangan sekali-kali kita menyakiti hati insan yang bernama wanita ini. Hati mereka penuh kelembutan, air mata mereka yang tumpah tidakkan mampu dibayar oleh kita, mereka insan berperasaan mereka juga yang akan menjadi ibu kepada zuriat kita nanti. Bimbinglah mereka dengan rasa berTuhan bukan dengan kekerasan mahupun penindasan. Mereka umpama besi yang bengkok dan mereka juga umpama kerak nasi yang keras. Besi boleh dilenturkan dengan baik andainya dipanaskan dengan suhu yang bersesuaian dan kerak nasi akan menjadi lembut andainya diletakkan air menyeri tambahan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok selama-lamanya. Jesteru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan).

Benar terdapat hadis yang menyatakan di neraka nanti kaum wanita begitu ramai di neraka. Tapi usah kita gentar dan takut kerana kaum wanita begitu mudah  untuk ke syurga. Hakikat di neraka kaum wanita itu ramai tetapi sudah tersurat, kaum wanita itu begitu mudah untuk memasuki syurga. Ingatlah akan kalam Allah yang di sampaikan melalui lidah baginda Rasulullah ini.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)

dan

Dari Abdurrahman bin Auf bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Jika perempuan mengerjakan solat yang lima, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya dan taat kepada suaminya maka akan dikatakan kepadanya masuklah ke dalam syurga dari pintu syurga yang mana sahaja engkau suka- Hadis Riwayat Ahmad dan Thabarani.

Saya berpesan kepada diri saya terutamanya dan kepada pembaca semua, jangan kita keji kepada golongan wanita yang masih belum mendapat hidayah untuk menutup aurat dengan sempurna tetapi berilah bantuan dan doa. Bimbinglah mereka dengan penuh hemah bukan dengan kata yang mampu membuatkan mereka menjadi lemah, lemah untuk berubah. Kita mengasak golongan ini dengan penuh hentaman dan cacian tapi mungkin kita lupa ada di antara sanak saudara kita juga seangkatan dengan mereka. Jadi, lebih baik kita menegur ahli keluarga kita dahulu. Perbetulkanlah mereka dahulu untuk kita sama-sama memasuki syurga Allah. Insya Allah. Jangan kita sibuk menegur kesalahan orang lain tetapi kesalahan ahli keluarga kita, dibiarkan sahaja. Tega kita untuk membiarkan mereka hanyut ke bahtera neraka? Usahlah kita bersangka buruk kepada golongan seperti ini. Hakikat orang yang suka bersangka buruk itu juga mempunyai hati yang buruk.

Berbalik kepada soal siapa yang kuat dan siapa yang hebat. Jawapan saya kedua-duanya hebat baik lelaki mahupun wanita. Tapi yang terhebat adalah makhluk yang bernama Wanita. Lelaki itu lahir dari rahim seorang wanita. Mungkin ada yang menyatakan bahawa tanpa lelaki zuriat itu tidakkan ada. Sebenarnya, bukan tanpa lelaki tetapi tanpa izin Allah, kita tidakkan mampu lahir ke dunia. Lelaki tidakkan mampu menanggung keperitan bermula dari mengandungkan seorang zuriat sehingga melahirkannya. Tempoh masa 9 bulan 10 hari bukan tempoh masa yang singkat. Hakikat, ada kaum lelaki yang mengandung tetapi mereka tidak mampu dan tidak akan dapat melahirkan anak. Itulah salah satu keesaan dan kehebatan Allah s.w.t. Hargailah insan yang melahirkan kita yakni ibu yang kita cinta. Jangan berkira untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka. Juga bagi yang mempunyai ibu mertua atau bakal mempunyai ibu mertua, hargailah ibu mertua kita kerana mereka telah melahirkan pasangan kita itu.

 Ku tinggalkan tontonan ini untukmu yang bernama wanita….

video

Al-Imam al-Thabrani meriwayatkan bahawa Mu’awiyah bin Abi Sufian pernah meminang Ummu al-Darda’ selepas meninggalnya Abu al-Darda’. Lalu pinangan Mu’awiyah itu ditolak dan dijawab oleh Ummu al-Darda’ dengan berkata:  “Sesungguhnya daku pernah mendengan Abu al-Darda’ berkata yang beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Mana-mana wanita yang kematian suaminya, kemudian wanita itu berkahwin dengan suami yang lain, maka ia menjadi milik suaminya yang terakhir ketika di dunia. Maka aku tidak akan memilih engkau untuk menggantikan tempat Abu al-Darda’.”  Lalu Mu’awiyah menjawab: “Jika demikian hendaklah kamu (wahai Ummu al-Darda’) membanyakkan berpuasa, kerana puasa itu menghilangkan keinginan syahwat nikah.” 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...