Labels

Pages

Followers

Tuesday, December 25, 2012

Kita Selalu...Mengeluh dengan Allah...




Kita dilahirkan dengan penuh kesempurnaan. Lahir kita disambut dengan tangisan dan mati kita nanti juga akan di sambut dengan tangisan. Kita lahir umpama kain yang putih dan kita mati nanti juga akan dibaluti dengan kain yang putih. Kita lahir dari tempat yang hina. Itu bukti kita bukan yang berkuasa dan kita bukan raja selamanya. Allah yang menjadikan kita. Sedarkah kita akan keEsaan Allah yang senantiasa merahmati dan membahagiakan hidup kita. Kadang kita minta hujan, Allah turunkan kemarau yang tak berkesudahan, kadang kita minta senyuman tapi Allah hadirkan tangisan buat kita, dan kadang kita berdoa moga diberikan rezeki yang melimpah ruah namun Allah berikan kita kemiskinan yang tidak terluah.

Semua ini ujian dari Allah. Allah memberikan ujian itu yang terdaya untuk hambanya menerima. Apabila berlaku kesusahan di dalam hidup kita, adakah kita kembali kepada Allah atau terus menyalahkan takdir? Sebagai hamba Allah itu bukan caranya. Kita ada pencipta kita. Mengadu dan berdoa pada Allah. Analogi mudah untuk kita fikir bersama, sekiranya kita mempunyai kereta berjenama Proton dan tiba-tiba kereta itu mengalami kerosakan, di mana harus kita bawa? Adakah di kedai servis Honda atau Toyota atau di bengkel kereta biasa? Sudah tentu kita akan bawa kereta kita itu di pusat servis Proton walaupun charge yang dikenakan agak mahal. Mereka yang membina dan mencipta kereta itu dan tahu kerosakan kereta itu. Tidak mungkin Pusat servis Honda dapat menyelesaikannya. Begitu juga dengan kehidupan kita. Mengadu pada Allah. Allah yang menciptakan kita, Allah tahu apa yang terbaik buat kita dan kita sentiasa berada di dalam perancangan Allah.

Hati resah tiada apa yang boleh di ubat melainkan mendapat ketenangan. Di mana kita mendapatkan ketenangan itu? Semuanya berbalik kepada pencipta kita. Bukankah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang? Al-Quran diturunkan penuh mukjizat yang hebat. Bacalah..kajilah sirahnya..hayatilah setiap apa yang diperkatakan. Semuanya datang dari Allah. Melengkapi segala-galanya. Jangan kita hanya sekadar membaca tanpa menghayati maknanya. Rugi dan amat rugi. Fikirkanlah sejenak, di dalam sehari kia boleh membuka akaun facebook selama berjam-jam lamanya, kita boleh membuka akaun twitter dengan beratus-ratus tweet di dalamnya dan kita boleh menulis apa sahaja yang kita suka di dalam blog tanpa terkira entry yang sudah kita cipta. Tapi di dalam sehari itu adakah kita mampu membuka akaun talian kita dengan Allah yakni membaca Al-Quran? saya menegur diri saya terutamanya dan kepada rakan-rakan semua. Adakah dating kita dengan Allah hanya sekadar solat dan berdoa dan kemudian menunggu waktu solat yang seterusnya. Itu pun belum tentu lagi kita dapat bersolat di awal waktu. Ingat! Syaitan itu kreatif permainannya dan inovatif fikirannya untuk menyesatkan dan melalaikan kita.

Nasihat dari rakan saya katanya “Syeikh, enta kalau tak mampu baca Al-Quran satu juzuk sehari, cukuplah dengan satu muka. Baca dan hayati maknanya dan jangan tidak langsung menyentuhnya. Cukup hanya sekadar semuka tetapi enta dapat mengambil pengajaran dan ibrah tentang apa yang enta baca tue. Jangan kita berkira dengan Allah nanti Allah berkira dengan kita. Selangkah kita datang kepada Allah seribu langkah Allah mendekat dengan kita.” Pesanan yang cukup memberi erti buat saya dan senantiasa menjadi motivasi tatkala diri ditimpa duka. Sentiasa berpesan pada diri, Allah sentiasa ada dengan kita, sentiasa ada dan tidak akan sekali-kali meninggalkan kita.

Ujian itu satu kecintaan Allah pada hambanya. Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis dan mahal. Untuk mencapai syurga, kita harus bersiap sedia dengan ujian dari NYA. Banyak persoalan senantiasa bermain di minda kita tatkala diri diuji dan ada yang hampir berputus asa. Buat teman di sana dengarlah jawapan dari Allah ini:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: Kami beriman, sedangkan mereka tidak akan diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahi orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahu orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

Apabila kita menerima ujian yang paling berat di dalam hidup kita, kita juga sering mengeluh dan kita bertanya pada Allah, adakah benar Allah menyayangi kita? Jika benar mengapa Allah berikan ujian yang tidak mampu kita tanggung ini. Ingatlah jika kita mempunyai masalah yang besar jangan sesekali kita berkata, “Wahai Allah, aku ada masalah besar.” Tetapi berkatalah pada masalah itu . “Wahai masalah, aku ada Allah yang maha besar dan Allah pasti akan membantuku. Ingat ujian itu Allah bererti kita mampu untuk menghadapinya. Hayati titipan kalam Allah ini:

“Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”(Surah Al-Baqarah ayat 286)

Ada di antara kita yang tidak mampu menanggung segala ujian yang menimpa. Hidup dirasakan tiada ertinya. Mati itu penamat segala sengsara di dunia. Ujian itu satu kepahitan kerana sudah buta erti kemanisan di dalam kehidupan. Jangan sekali-kali kita kecewa dan berputus asa. Jadikanlah ingatan dari Allah ini sebagai penawar duka kita:

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran ayat 139)

            Tika ujian itu hadir kita sangsi dan kita seakan mati, tidak tahu ke mana arah tuju dan tempa untuk kita mengadu. Bukankah kita ada Allah yang maha mendengar dan maha mengasihi. Cukuplah Allah sebagai penolong bagimu dan cukuplah Allah sebagai pelindung bagimu. Hayati bicara suci kalimah Ilahi ini:

“Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan yang sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Surah Al-Baqarah ayat 45)

Kita terus mengeluh tatkala apa yang kita minta itu tidak ditunaikan. Allah gantikan yang bukan kita sukai. Ingatlah bahawa sesuatu yang kita sukai itu akan menjadi kebencian buat kita suatu hari nanti. Berdoalah pada Allah moga rasa itu tidak pernah berubah. Kita bertanya adakah ganjaran buat kita sekiranya kita sabar dengan segala ujian yang menimpa ini. Jawapannya ada. Al-Quran telah merakamkan janji Allah yang pasti ini:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dan memberikan syurga untuk mereka…” (Surah At-Taubah ayat 111)

Moga-moga titipan kali ini ada secangkir ingatan buat semua. Berilah peringatan kerana peringatan itu ada manfaat bagi orang mukmin. Pesanan buat diri dan buat semua. Sebarkanlah dengan rasa ingin berdakwah di jalan Allah. Salam Peperiksaan. Moga kita diberikan kemudahan untuk menjawab semua soalan peperiksaan nanti. Amen.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...