Labels

Pages

Followers

Thursday, March 7, 2013

Dia...Jodohku



Jodoh akan tiba pada tepat masa, siapa ketika dan di mana. Ia bicara hakikat bukan sekadar pengubat. Yakinlah pada urusan Allah ini. Jodoh itu akan hadir pada kita semua. Teruskan menanti dan mengharap pada si pemberi Jodoh yakni Allah. Persiapkanlah diri untuk jodoh kita nanti agar kita menjadi pembimbing dan pendampingnya.

Jatuh cinta pada seseorang itu, fitrah. Jatuh cinta kerana bernafsu pada seseorang itu, mazmumah dan jatuh cinta pada seseorang untuk menjadikannya isteri atau suami kepada kita itu, adalah amanah! Perasaan ini akan hadir bila kita menginjak usia remaja. Segala kawalan dan pengetahuan perlu ada di dalam habitat cinta ini. Andai kita gugur untuk mentafsirkannya maka akan membawa bencana pada diri kita dan dia. Hakikat cinta itu suci dan ia bermula di syurga. Kisah antara Nabi Allah Adam dan Hawa. Namun, cinta kita pada hari ini, banyak tersasar dan dan lari dari istilah suci itu.

Apa yang dilarang menjadi ikutan dan apa yang disuruh menjadi ejekan. Penangan cinta membuka marahbahaya kita. Saya yakin, ramai di antara kita yang pernah bercinta atau sedang atau akan atau telah bercinta. Saya akui saya juga pernah. Penangannya sungguh bahaya dan amat bahaya. Benar awalnya manis akhirnya sakit seperti hempedu yang terhiris. Ramai di antara kita yang tidak sedar ketika mana saat bahagia bersama pasangan dan adakah kita terfikir selamanya ia akan bahagia. Hakikat kita lupa si pemberi cinta yakni Allah. Apabila terjadi sesuatu perkara di luar jangkaan kita, kita seakan pasrah dan menyalahkan takdir. Takdir yang membuatkan kita menjadi begini. Takdir yang menjadi pemutus antara kita dan dia. Bukan takdir yang salah tetapi kita yang salah mentadbir hati kita. Saya ulangi sebenarnya kita yang salah mentadbir hati kita.

Pahitnya ujian itu bukan menjadi racun dalam kehidupan kita tetapi sebaliknya ia menjadi penawar pada bisa yang kita rasa. Sebagai contoh, apabila kita sakit, kita memerlukan ubat. Ubat itu pahit bukan? Tetapi pahit itulah yang akan melegakan kita. (Cuma nasihat saya jangan kita terlalu bergantung pada ubat kerana banyak kandungan dadah di situ. Barat mencipta ubat yang boleh melemahkan antibodi kita dan menyebabkan kita ketagih pada ubat. Ini hanyalah perumpamaan dari saya). Kesakitan akibat putus cinta boleh menyebabkan kita lemah. Tetapi itu juga akan menjadikan kita seorang yang tabah dan seorang yang akan berubah. Benar. Kita belum terlambat untuk berubah. Berubah menjadi seorang yang lebih matang dan tahu tentang hidup dan kehidupan. Lakukan persediaan untuk masa hadapan kita nanti.

Pesan saya, usah kita menyalahkan bahan ujian dari Tuhan itu tetapi berterima kasih lah kepadanya. Agak sukar tetapi, andai tidak mampu kirimkanlah doa bahagia buat dia. Jangan rasa benci mahupun iri hati. Bahagiakanlah diri kita apabila melihat dia bahagia. Bukan tiada jodoh dengan dia tetapi jodoh itu belum sampai. Bersabarlah. Allah itu yang memberi hati kepada kita. Bagi yang sedang berbahagia dengan pasangan masing-masing. Jagalah dan peliharalah segala apa yang menjadi larangan di dalam percintaan. Andai mampu kita menjauhi dari zina mata, hati, kaki dan tangan. Insya Allah. Allah pasti akan redha tetapi andai kita gagal menjaganya pasti Allah jua akan murka.

Masa bukan menentukan pengakhiran tetapi permulaan itu yang akan menentukan pengakhiran.  Iftitah penentu natijah. Proses memilih jodoh kita itu yang penting. Jika diawalnya kita sudah melalui perkara-perkara yang mendekatkan kita dengan maksiat bersama pasangan kita itu pasti diakhir nanti kita akan memperolehi hidup yang tiada berkat. Ingat dia yang akan menjadi suami dan ayah pada anak kita nanti dan dia juga akan menjadi ibu dan isteri kita nanti. Ketahuilah olehmu wahai putera puteri amanah Ilahi, jangan sesekali kau tukar fitrah itu menjadi fitnah. Ingat taat lebih mudah daripada melakukan maksiat, jika taat itu pedih, sesungguhnya maksiat itu lebih pedih.

Doa dan istikharah pengikat pada datangnya jodoh kita. Kita masih tidak tahu siapa jodoh kita tetapi kita boleh berdoa untuk jodoh yang tidak diketahui oleh kita itu. Teruskanlah berdoa, biar dia tidak tahu kerana kita punya DIA yang maha tahu. “Ya Allah, kurniakanlah aku jodoh yang baik, jodoh yang soleh/solehah.” Istikarah sahaja tidak mencukupi harus diistiqamah dengan doa setiap hari. Tapi apa yang penting perubahan diri kita. Bagaimana nanti jika jodoh kita itu tahu kita orang yang tidak baik. Selagi ada masa berubahlah.

Pimpinan tangan ketika bercinta bukan syarat utama. Bergambar mesra berdua (couple) juga bukan tuntutan agama. Wahai sahabat, tidakkah kita kasihankan pada jodoh kita nanti jika dia tahu dan dia melihat jodohnya itu bergambar mesra bersama pasangan yang dia sendiri tidak tahu pengakhirannya. Andai dosa itu berbau pasti tidak ada orang yang akan mendekati kita. Mari kita ambil contoh makanan. Kita semestinya mahukan makanan yang enak dan tidak terusik oleh sesiapa. Tetapi sanggupkah kita menghabiskan makanan kita itu andai ada kawan kita yang sudah merosakkannya dengan mencampurkan bahan perisa atau rasa yang kita tidak gemari.?

Bersabarlah dengan urusan Allah ini kerana ia pasti akan hadir walau kita tidak sedari. ~Wa ila Rabbika far ghob~. Utamakan amanah kita nanti akan kita iring dengan fitrah cinta yang suci. Jangan kita sibuk memikirkan siapa jodoh kita tetapi sibuklah dengan berfikir apa persiapan kita untuk bakal jodoh kita. Mudah-mudahan bicara kali ini menjadi nasihat buat diri saya terutamanya dan kepada pembaca yang budiman sekalian.~ Secangkirbicara

Saturday, March 2, 2013

Awak Sayang Saya Tak?



Salam pertemuan buat pembaca sekalian. Alhamdulillah masih diberi ruang untuk berkongsi sedikit cerita dengan sahabat semua. Hari ini saya merasakan hari yang ada sejarah buat saya. Memberi senyum sinis sambil hati mencorak rasa manis. Ish sastera bunyinya. Jangan risau dengan bahasa yang saya gunakan. Insya Allah saya yakin sahabat pembaca sekalian masih memahami bicara saya ini.

Hari ini, saya berkesempatan menghadiri sebuah program yang saya rasakan hebat dalam bahasa sekrang Gojes..Hehehe..Rupanya Allah mengaturkan saya tentang sesuatu pada program ini. Bagi kita mungkin biasa-biasa sahaja tetapi ada yang luar biasanya. Pahit di awalnya tapi manis diakhirnya..moga terus berkekalan.

Kami dipecahkan di dalam kumpulan kecil. Kembali menggamit kenangan dulu-dulu. Bermula dari ini ada cerita yang masih tersimpan. Hehehehe. Permainan dimulakan oleh abang-abang dan kakak-kakak fasi.(abang ke? Kakak ke?) . Selang aktiviti seterusnya..kini tiba dengan permainan yang baru. Mereka namakan permainan ini “Awak Sayang Saya Tak?”. Agak terkedu dan terkejut saya mendengar nama slot permainan ini. Susah juga untuk memahaminya. Biasalah bagi pasangan yang sedang, pernah atau akan bercinta pasti akan melalui frasa ayat ini. Tetapi saya…ehmmmmmmmmmm…

Fasi-fasi meminta kami berada di dalam bulatan yang besar. Jangan risau walau berada di dalam bulatan yang besar kami masih menjaga batasan pergaulan antara yang bukan mahram kami. Aktiviti nya mudah setiap orang yang dipilih harus bertanya kepada seorang rakannya yang berada di dalam bulatan itu dengan soalan ~ “Awak sayang saya tak?”. Sekiranya mereka menjawab ya nyatakan sebabnya dan sekiranya tidak juga harus menyatakan sebabnya. Dan adalah arahan yang seterusnya.

Saya terfikir sejenak. “Alamak bagaimana kalau ada budak perempuan yang datang dekat aku pastu tanya aku macam tue. Ish3”. Perasannya saya. Macamlah ada orang yang akan bertanya soalan begitu kepada saya. Ya. Bagaimana agaknya jika sahabat berada di dalam permainan ini? Permainan dimulakan! Setiap kesalahan ada dendanya. Fasi memanggil seorang wanita bertudung litup, ayu gayanya persis Muslimah solehah. Dia terpinga-pinga. Terkedu dan seolah-seolah tidak tahu membuat apa. Dia mengelilingi bulatan itu mencari ‘sahabat’ untuk di soal dengan soalan itu.

Muka saya masih selamba. Cuma kesian kepada gadis itu. Nanti mungkin ada yang berfikiran negatif kepadanya walau hakikat ia cuma permainan. Saya ulangi ia hanya permainan. Dia melangkah dan terus melangkah…dan akhirnya langkahnya terhenti. “Saya pilih dia.” Kata gadis itu tersipu-sipu malu. Suasana terdiam. Gadis itu terus mengajukan soalannya… “Err….awak sayang saya tak.”.

“Gulp”. Bagaimana untuk menjawab soalan ini, sedangkan kita tidak langsung mengenali dia. Bersahabat belumpun berkenalan. Suami isteri? Jauh sekali. Saudara seagama.Ya. “Heeeeeeee..” Hanya senyum panjang yang terukir di pipi. Andainya ada jawapan pada persoalan itu sudah tentu akan dinukilkan. Sahabat yang lain memerhati.

**********

Daripada Abu Hurairah r.a. yang maksudnya, bahawasanya  ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya yakni sahabatnya di sebuah kampung yang lain. Lalu Allah menyuruh seorang malaikat untuk memerhatinya di dalam perjalanan. Lalu malaikat itu bertanya kepada lelaki itu, “Hendak ke mana engkau?” Lelaki tersebut menjawab, “Aku hendak menemui seorang sahabatku di kampung itu”. Malaikat bertanya lagi, “Adakah bagimu bumi kepadanya yang engkau mengharap balasan daripadanya?” Tidak, aku mencintainya kerana Allah SWT. Maka berkatalah malaikat itu kepadanya, “Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau. Bahawa sesungguhnya Allah SWT telah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai dia kerana Allah”. (Hadith riwayat Muslim).

~Kadang-kadang pasangan bercinta selalu bertanya kepada pasangan mereka di antara mereka yang siapa yang lebih di sayangi atau dicintainya, awak ke atau saya? cth suami isteri.

Tapi apabila soalan ini ditujukan kepada para hukama, mereka menyatakan bahawa siapa yang lebih cinta dan sayangnya kepada Allah, maka dialah yang lebih cinta kepada pasangannya.~


Friday, March 1, 2013

Bagaimana Akhirnya nanti...



Hari ini Jumaat yang terakhir pada bulan ini. Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk kita merasa nikmat hidup di dunia yang fana ini. Syukur pada Allah kerana memberikan ruang dan peluang untuk kita semua. Hari ini terdetik untuk saya berbicara soal pengakhiran kita. Bagaimana ya agaknya kita nanti ketika berhadapan dengan Sakaratul Maut? Bagaimana ya keadaan kita adakah di dalam Khusnul Khatimah atau Suul Khatimah. Mudah-mudahan kita semua di dalam Khusnul Khatimah. Insya Allah.

Kita senantiasa diberikan dengan nikmat Allah yang begitu banyaknya tanpa pernah kita duga dan kadang-kadang Allah akan menarik nikmat itu dalam tempoh yang cukup singkat dan cepat. Itulah kuasa Allah. DIA berhak memberi dan berhak mengambil kembali apa yang sudah diberi. Kita melihat suatu nikmat itu bukan hanya sekadar kaifiat pada kita tetapi bukti supaya kita terus taat, taat pada si pemberi nikmat itu yakni Allah yang maha kuasa. Segala nikmat bukan jalan untuk kita menempuh maksiat tetapi tarbiah buat diri supaya kita lebih menjadi taat.

Hidup kita tidak akan lepas dari dosa. Tetapi perlu kita bahawa kita ada DIA untuk menebus segala dosa-dosa kita. Dengan apa caranya. Taubat. Ya, taubat dari melakukan perkara yang kita telah lakukan. Ingat, kesilapan pertama bukan dinamakan kesilapan tetapi kesilapan kedua itulah yang dinamakan kesilapan. Rintihlah kesilapan kita dengan doa. Doa silah orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Ramai yang berkata bahawa tidak cukup dengan doa tetapi kita harus berusaha, tetapi sebenarnya dengan berdoa itu jugalah merupakan usaha kita.

Usah kita risau lagi andai suara dan rintih kita tidak didengar oleh manusia kerana Allah sentiasa merindukan suara kita. Mari kita ambil ibrah kata dari Imam Syafie ini ~ tika mana pengharapanmu di bumi sudah tertutup maka letaklah pengharapanmu pada langit kerana kau tidak akan sekali-kali kecewa dengan NYA. Allah sebenarnya sudah mengetahui apa yang berlaku pada diri kita kerana Allah Maha Mengetahui, tetapi berdoalah dengan yakin bahawa Allah pasti perkenankan segala apa yang kita pohonkan.

Masa kita di dunia ini masih panjang tetapi tidak bagi orang yang takut akan azab Allah. Segeralah bertaubat. Lakukanlah perubahan kerana perubahan yang ada di dalam diri kita akan pasti mengubah orang lain. Jika kita inginkan sahabat kita berubah ke arah yang lebih baik kita juga harus berubah! Bukan nanti tapi sekarang. ~Secangkirbicara

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...