{Sungguh Allah lebih gembira dengan taubat
hamba-NYA ketika ia bertaubat kepada-NYA daripada (kegembiraan) seseorang yang
menunggang untanya di tengah gurun sahara yang sangat tandus, lalu unta itu
terlepas dan membawa lari bekal makanan dan minumannya. Hamba Allah itu hampir
putus asa untuk kembali mendapatkannya. Kemudian dia menghampiri sebatang pohon
lalu berbaring di bawah teduh pohon itu kerana telah putus asa mendapatkan unta
tunggangannya tersebut. Ketika dia dalam keadaan demikian, tiba-tiba dia
mendapati untanya telah berdiri di hadapannya. Lalu segera dia menarik tali
kekang unta itu sambil berucap dalam keadaan sangat gembira, “Ya Allah, Engkau
adalah adalah hambaku dan aku adalah Tuhan-MU” Hamba Allah itu salah
mengucapkan rasa syukur itu kerana dia terlalu gembira.} ~Hadis Riwayat Muslim~
Salam pertemuan, setiap detik masa berlalu
kita masih diberikan ruang dan peluang oleh yang Esa untuk terus merasa nikmat
kehidupan di dunia. Benarlah apa yang dikata, dunia ini tempat kita berpenat
dan di akhirat nanti destinasi untuk kita berehat. Bukan berpenat mengejar
harta dan pangkat, bukan berpenat mencari dosa dan maksiat tetapi, berpenat
untuk mencari ilmu bagi menuju jambatan kita ke akhirat, berpenat untuk meraih
tempat di syurga yang penuh nikmat.
Titipan kali ini moga dapat menjadi nikmat
pada sekalian umat. Bukan terasa untuk menunjuk diri ini hebat tetapi untuk
mencari pencen di kubur dan di akhirat. Mudah-mudahan sama-sama kita mendapat
manfaat. Saya mulakan penulisan ini dengan menitipkan sebuah cerita tentang
gembiranya Allah terhadap hambanya yang bertaubat. Bagaimana gembiranya kita
apabila dikurnia sesuatu nikmat, begitulah gembiranya Allah pada hambanya yang
bertaubat. Bahkan lebih lagi.
Kehidupan di dunia ini begitu singkat.
Singkat untuk mencari musuh, singkat untuk mempunyai hasad dan singkat untuk
membenci. Allah kurniakan sebuah kehidupan untuk kita rasa untuk kita bina dan
untuk kita teroka. Perjalanan di dunia ini begitu mencabar dan memerlukan kita
bersabar. Ujian pasti hadir dalam setiap kehidupan kita. Masalah pasti tiba
saat kita di dalam suka atau duka dan sedih pasti bersinar tika indah kita
menghilangkan cahaya sukanya. Begitulah lumrah dunia. Hidup ini umpama roda.
Kadang-kadang kita berada di atas dan kadang-kadang kita berada di bawah. Titik
kedudukan kita ini tidak akan kekal lama pasti akan bertukar. Lihat sahaja
perdana Menteri Malaysia yang paling lama memerintah di negara kita ini. Dia juga
akhirnya menoktahkan jawatannya itu. Setiap yang kita ada pasti tidak akan
kekal lama. Bersedia untuk melepaskan dan redha atas segala ujian.
Begitu juga dengan cinta, cinta adalah
fitrah dan jangan sesekali fitrah itu menjadi fitnah. Allah mengurniakan
cinta kepada kita untuk kita rasa. Islam mengajar kita erti percintaan sesama
pencipta dan hambanya. Cinta bukan dianggap sebagai sekatan tetapi sebagai kawalan.
Kawalan dari segala apa yang boleh menyebabkan kemurkaan Tuhan. Jaga, pelihara
dan bimbing orang yang kita cintai itu. Saya teringat pesan ‘dia’ kepada saya “jangan
sesekali lalai dalam kehidupan ini”. Terkesan di hati merasa di seluruh urat
nadi, moga diri terus istiqamah dalam berbakti dan moga jiwa penuh hemah dalam
mencari cinta agung nan suci.
Menjurus pada mauduq perbincangan kita,
kita inginkan ketenangan dalam kehidupan. Sering kali kita mahukan sakinah (ketenangan)
dalam hayah (kehidupan) kita tetapi jalan untuk mencari sakinah itu tiada
sekadar berharap dan terus berharap tanpa ada usaha. Hati resah kerana dosa
yang makin membarah, jiwa goyah kerana maksiat makin bertambah. Di mana nilai
kesucian kita pada ketika itu? Ketenangan itu punca keindahan raja dalam
kerajaan diri kita yang bernama hati. Kebahagiaan itu datang dari ketenangan
hati, ketenangan hati itu datang dengan sumber yang mengingati Allah dengan kita
melafaz Zikrullah.
Taubat itu ubat. Ubat pada jiwa yang kian berkarat penawar
pada kalbu yang lesu. Pintu taubat itu sentiasa terbuka untuk kita tetapi kita
yang sengaja menjauhi pintu itu. Kita tidak akan dapat memasuki rumah kita
dengan cara yang lumrah seandainya kita tidak melalui pintu. Begitu juga dengan
taubat bagaimana kita inginkan ketenangan seandainya dosa dan noda kita
sentiasa berlinangan dalam diri kita. Jangan sesekali kita risau pada ibadah
kita ini diterima ataupun tidak tapi risaulah sama ada taubat kita ini diterima
ataupun tidak. Ingat! Allah maha
Pengampun. Hukama pernah berkata, salah satu tanda taubat kita diterima adalah
apabila kita merasa tenang dalam beribadah.
Saya menyeru diri saya terutamanya dan pada
pembaca semua jagalah diri kita dari melakukan dosa yang kita tidak sedari. Perkara
ini amat bahaya. Syaitan itu kreatif hasutan dan permainannya. Jagalah diri dan
iman kita sebaik mungkin. Kita sebenarnya banyak melakukan dosa besar dari
melakukan dosa kecil. Subhanallah, bagaimana kita tidak pernah bersyukur atas
setiap apa yang dikurniakan Allah. Dosa besar bermaksud perkara yang dilarang
di dalam Al-Quran dan As-Sunah. Berapa ramai di antara kita yang tahu bahawa
perkara yang kita lakukan itu berdosa tetapi kita tetap tega melakukannya. Bahkan
bangga dengan dosa yang kita lakukan itu.
Laman maya bahaya Facebook begitu
dekat dengan diri kita. Hari rasa kosong jika tidak membukanya dan minda rasa
resah jika tidak melihatnya. Ingat! Facebook boleh menjadi ladang
untuk kita menabur pahala dan boleh juga menjadi padang untuk kita mencari
dosa. Fikirlah, setiap apa yang kita catatkan di dalam facebook itu
pasti nanti akan disoal oleh Allah. Ingat! Pada sahabat semua, jangan kita
bangga menayangkan kecantikan itu pada khalayak. Wajah cantik itu hanya menipu.
Di tampal dengan lapisan kimia yang berbahaya. Sahabat, jangan kita bangga pada
rupa yang hebat andai nanti ia hanya menjadi makanan ulat dan jangan kita riak
dengan kecantikan yang ada andai kulit kita nanti tidak mampu untuk melawan
kepanasan api neraka. Jauhkanlah kita dari fitnah manusia.
Simpan pada kecantikan dan kekacakan kita
itu pada yang halal. Allah itu cantik dan sukakan kecantikan. Jangan kita
sampai menayangkan segala apa yang ada pada kita hanya untuk mendapat pujian
dari manusia yang penuh dosa. Apa guna wajah indah jika kotor pada pada
pandangan Allah. Redha Allah yang utama! Rasa kolot jika pakaian kita tidak
setanding dengan pakaian rakan-rakan lain yang ditayangkan di Facebook sana.
Tidak perlu rasa begitu kerana biar pakaian yang kita pakai melambangkan agama
kita melambangkan maruah dan diri kita. Terdedah sini dan sana tidak akan mampu
melawan panasnya api neraka nanti. Marilah sama-sama kita berdoa, moga mereka
berubah. Berubah pada kebaikan dan berubah pada mencari Redha Tuhan.
Hadis nabi ada menyebut “setiap anak
adam itu bersalah tetapi sebaik-baik kesalahan itu adalah BERTAUBAT.” Kita
semua berdosa, tetapi jangan sesekali kita bawa bersama insan yang kita sayang
terlibat dengan dosa yang kita lakukan. Renunglah diri, hinakan diri mengadu
pada Tuhan kerana pintu taubat itu masih dibuka. Bersegeralah kita bertaubat.
Maafkanlah kesalahan orang yang bersalah kepada kita. Hidup ini terlalu
singkat untuk membenci. Berilah maaf dan segeralah bertaubat. Akhirul
kalam, moga titipan ini menjadi sedikit jarum suntikan buat sahabat semua. Saya
bukan siapa-siapa. Saya hanya makhluk Allah yang penuh dosa dan hina tetapi
saya ingin bersama dengan sahabat untuk menjadi hamba Allah yang berjaya di
dunia dan akhirat.
Dengarlah..alirkan air mata kita. Kerana air mata yang jatuh ketika
mengiangati azab Allah pasti akan dijauhan kita dari api neraka.=’)
2 comments:
Assalamualaikum Tn. HH
Pohon izin nak copy paste ke blog saya.Artikel ni menarik untuk dikongsi bersama terutamanya menjelang tahun baru 1434H nih
Terima Kasih.
Wassalam,silakan saudara.Moga-moga dapat kita berkongsi ilmu. Jangan lupa tinggalkan link nanti ye.=)
Post a Comment