Labels

Pages

Followers

Friday, November 30, 2012

Tika Tiada Dirindui



Salam jumaat buat semua pembaca secangkir bicara. Alhamdulillah, diberi juga kesempatan untuk menitip setitis tinta bagi sama-sama berkongsi ilmu dunia ini. Maaf dipinta kerana keterbatasan masa untuk saya berkongsi cerita di laman ini. Doakanlah moga saya dipanjangkan umur untuk diberikan kesempatan sama-sama berdakwah di dalam agama.

Apabila kita mendapat sesuatu nikmat, jangan pernah kita lupa pada si pemberi nikmat itu. Segala karunia dari NYA tanda cinta NYA pada kita. Samalah seperti apabila kita mendapat hadiah. Kita gembira apabila menerima hadiah dari seseorang tetapi wajarkah kita lebih menyayangi atau mencintai hadiah itu daripada si pemberi hadiah? Sudah tentulah jawapannya kita wajar mencintai si pemberi hadiah itu. Begitu juga dengan Allah, Allah yang memberi kita nikmat, tapi ingat Allah yang harus kita cintai daripada nikmat yang diberikan itu.

Saya diberi peluang untuk berjumpa dengan tokoh-tokoh agama dan tokoh-tokoh akademik atau yang berjawatan tinggi. Apa yang dapat saya katakan di sini. Mereka punya watak yang berbeza ada yang mudah untuk didekati ada yang payah untuk didampingi dan ada yang hanya mampu mendiamkan diri. Jadilah kita manusia yang mudah untuk didampingi kerana pangkat dan darjat itu hanyalah ujian bukan tempat untuk kita menunjukkan kekuasaan kita. Majlis rasmi penuh protokolnya, segala macam disiplin dan syarat perlu ada dan perlu kita pelajari. Itulah lumrah dunia bagi orang-orang yang terlalu banggakan jawatannya. Tanpa protokol diri mereka rasa di hina dan terhina. Tapi ingat! Padang Mahsyar nanti dia pasti tidak akan lagi merasai nikmat seperti itu. Nikmat di sanjung-sanjung, nikmat di agung-agung pasti akan sirna.

Hal ini berbeza dengan tokoh agama yang pernah saya temui ataupun tokoh yang berjaya tapi tahu tentang agama. Ramah mereka senang untuk disantuni, pesanan mereka buatkan diri rasa dihargai dan doa dari mereka penghubung untuk menyemai kejayaan nan abadi. Terpukul rasa di hati apabila amanah demi amanah yang diberikan yang memaksa untuk saya berhadapan dengan ramai orang yang lebih dan tinggi ilmunya dari saya. Jika difikirkan soal ilmu sememangnya saya kurang ilmu dari mereka semua tapi, memikirkan dakwah dan tanggungjawab saya sebagai hamba Allah saya terima segala amanah yang diberi itu.

Ada yang mengata, ada yang mencerca dan ada yang tidak suka atas nikmat yang dikurniakan kepada saya itu. Tapi apa yang perlu saya risaukan kerana bukan kata puji dari manusia yang saya perlukan tetapi yang saya tagih adalah moga usaha saya ini dipandang oleh Allah s.w.t. Setidak-tidaknya saya ada menyumbang untuk agama. Setiap kali mendapat amanah itu saya berdoa pada Allah agar senantiasa dikurniakan perasaan takut dan gugup untuk menyampaikan ilmu. Kerana saya tidak mahu menjadi insan yang takbur, manusia yang sombong apabila memberi kata. Anugerah Allah ini begitu besar bagi saya. Jadi perlu saya gunakan ke arah kebaikan dan bukan untuk meninggi diri dan merasakan diri ini baik.

Saya gagahkan diri untuk melaksanakan amanah itu sebaik mungkin, rasa terharu apabila mereka menanggap saya insan hebat. Bagi saya, tidak mereka adalah insan yang paling hebat yang paling baik berbanding diri saya ini. Saya hanya biasa-biasa sahaja tetapi ingin sekali menjadi insan luar biasa seperti mereka. Kenangan berbicara dengan Ustaz Pahrol, Ustaz Hakim dan Dr. Farhan Hadi begitu mengujakan saya. Nasihat yang mereka berikan akan saya gunakan untuk saya mencapai kejayaan dan mendapatkan redha Tuhan. Titipan kali ini bukanlah untuk menceritakan keujuban diri tetapi sekadar perkongsian buat pembaca semua bahawa kita bukan yang terbaik tetapi kita sentiasa ingin menjadi yang terbaik. Jangan risau atas cerca manusia kerana kita ada Allah yang menjadi pengubat Jiwa. Jangan gusar atas nama kesakitan yang menimpa kerana kita ada Al-Quran untuk dijadikan panduan bersama. Salam sayang dari saya.=)

Ingatlah kata-kata Sayidina Ali ini ~ Jadilah kamu orang yang baik, bila ada kamu disukai, bila tiada kamu dirindui dan bila mati kamu ditangisi. Jangan kamu menjadi orang yang jahat, bila ada kamu dihina, bila tiada kamu disukai dan bila mati kamu disyukuri~


Kenangan Forum Bersama Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Hakim
 (CINTA VVIP)


Kenangan Forum bersama Hilal Asyraf dan Ummu Hani
(PENA MENARI DAKWAH SELARI)


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...