بسم الله الرحمن الرحیم
Puji dan syukur saya
panjatkan ke hadrat Ilahi di atas limpahan rahmatnya yang Maha Luas,
Alhamdulillah, Allahu Akbar, Kita masih lagi diberikan rahmat dan kesempatan
bahkan sebuah pengharapan untuk meneruskan kehidupan. Selawat dan salam untuk
junjungan mulia baginda Rasulullah S.A.W. Mudah-mudahan dengan mengingati Allah
dan rasulNYA hati kita menjadi aman dan tenang
Insya
Allah, saya sedikit berkesempatan untuk sama-sama berkongsi cebisan ilmu yang
maha sempit ini. Insya Allah mudah-mudahan ilmu yang sempit ini jika diniatkan
kerana Allah pasti sampai dan terkesan. Ilmu yang datang dari hati pasti akan
mengisi hati-hati yang menjiwainya. Fitrah dalam kehidupan adanya sebuah
pasangan. Itulah lumrah itulah anugerah dari Allah. Lelaki pasangannya wanita.
Adam pasangannya Hawa. Mereka terpisah di syurga tapi dipertemukan kembali ke
syurga. Masya-Allah hebatnya Allah.
Jodoh
itu rahsia Ilahi, tapi percayalah jodoh yang baik perlu di cari bahkan perlu
disertakan doa, restu dan tawakal kepada Allah. Saya terdiam tatkala seorang
sahabat mengeluh tentang urusan jodohnya. Kata beliau, sudah tiba masanya untuk
beliau mencari pasangan hidup di penghujung semester ini. Mungkin agak terlalu
awal tapi masih belum terlewat bisiknya. Keluhan dari seorang sahabat yang
membawa berjuta makna kepada saya. Bahkan timbul kerisauan bagaimana pula jodoh
saya nanti.
Pintasan
hati itu lantas saya segerakan dengan sebuah kalimah “hendakkan solehah aku
perlu jadi soleh” dan “inginkan jodoh yang baik aku perlu jadi yang terbaik.”
Allah maha tahu segala perancangan yang ada untuk kita. Semuanya telah
ditetapkan. Terkadang kita lebih merisaukan soal jodoh dari persoalan tentang
bagaimana kita bertemu ajal nanti. Antara bertemu jodoh dan bertemu ajal sudah
tentu jodoh berita yang akan menggembirakan kita. Itu hakikat! Tapi tidak bagi
orang yang beriman kerana mereka percaya mati itu ‘syarat’ untuk bertemu cinta
Allah!
Ada
kala pasangan yang kita cari itu mungkin menjadi jodoh kita tapi mungkin juga
tidak. Fikirlah sedalam-dalamnya bukan sahaja pasangan tapi pasangan untuk
kehidupan kita tapi pasangan untuk kita hidup! Dia yang akan menjadi isteri
bahkan ibu kepada anak kita nanti. Insya Allah jika Allah izinkannya. Apa yang
menjadi milik kita belum tentu menjadi rezeki kita kerana jodoh itu adalah
sebuah rezeki Allah yang tidak terkira nikmatnya.
“Kehidupan
kamu bermula selepas perkahwinan!” Kata seorang guru kepada saya. Benarlah
kehidupan kita yang sebenar adalah selepas melangkaui alam bujang. Di situ kita
diuji dengan tanggungjawab, amanah dan juga hikmah. Apa yang terselindung kini
sudah tidak ditutup lagi. Apa yang dilakonkan kini tidak lagi diteruskan. Watak
sebenar diri kita akan terserlah. Ketika itu, kita sedar siapa sebenarnya
pasangan kita. Jika baik Alhamdulillah, jika tidak Alhamdulillah. Ia ujian dari
Allah!
Apabila
kita memilih pasangan hidup, kita selalu memikirkan bahawa adakah kita dan dia
mempunyai persefahaman dengan dia dan adakah kita benar-benar sesuai dengan
dia. Hakikatnya, dia bukan sahaja untuk kita tetapi dia juga untuk ahli
keluarga kita. Dia juga akan menjadi kepunyaan ibu dan bapa kandung kita!
Benar. Bahkan dia juga akan ‘berkahwin’ dengan kedua orang tua kita. Inilah
persoalan yang utama. Bolehkah dia menjaga kedua-dua ibu bapa kita seperti kita
menjaga mereka dan bolehkah dia menyayangi kedua-dua ibu bapa kita seperti kita
menyanyangi mereka. Allahu Akbar.
Persoalan
jodoh ini bukan main-main. Janji yang diucap semasa alam percintaan bukan
gelanggang permainan. Ia sebuah perjanjian yang memerlukan pelaksanaan. Bukan
kosong penuh bermadah! Alam bercinta kita seolah jutawan, apa saja yang dipinta
kita berikan kepadanya tapi apabila sudah melangkah ke alam pernikahan kita
menjadi papa bukan ayah tapi papa kedana. Saat itu sang isteri meminta untuk
membeli barang dapur pun disuruh menggunakan duit sendiri.
Hanya
orang yang pernah bercinta sahaja tahu penangannya. Pengalaman itu pengajaran
buat kita untuk sama-sama kita ambil pelajaran. Bahaya dan amat bahaya! Alam
percintaan penuh godaan dan ujian. Bukan salah syaitan bukan salah nafsu tapi
salah badan yang tersasar dalam mentadbir cinta. Maka nafsu dijadikan raja,
syaitan pula dijadikan penasihat. Sering saya titipkan persoalan pada tulisan
saya sebelum ini, sepanjang percintaan kita dengan pasangan kita ‘sudah berapa
banyak kita melakukan dosa dengannya?” Bukankah kita berjanji untuk membawanya
hingga ke syurga? Tapi bagaimana caranya jika pada permulaan hubungan kita,
kita sudah letakkannya ke lembah neraka? Nauzubillah. Moga Allah menjaga kita
dan menjauhkan kita dari perkara mungkar dan maksiat. Astagfirullah.
Timbul
kerisauan di dalam hati dan sanubari ini apabila terkenangkan adik-adik yang
sudah membesar. Mereka juga sudah punya hati dan perasaan untuk dicintai dan di
sayangi. Ya Allah, jadikanlah saya seorang abang yang tahu akan tanggungjawab.
Mudah-mudahan mereka terselamat dari zina dan perkara maksiat. Insya Allah.
Siapa
jodoh kita?Allah sahaja yang maha mengetahuinya…Kita hanya sekadar hamba perlu
berdoa dan berusaha untuk menjadi hambanya yang baik dan soleh atau solehah.
Jodoh itu pasti datang tepat saat dan waktunya andai kita sudah bersedia.
Allahu Akbar Allah maha besar bersabarlah tentang urusan Allah ini. Jangan
sekali-kali pertikaikan kepada diri kita..”mengapa aku tidak punya kekasih
hati?Buruk sangatkah diriku ini?”
Tapi bisiklah pada
diri..
“Syukur, Alhamdulillah, Allah senantiasa menjagaku dari dosa dan zina
hati. Itu hanyalah sekadar kehendakku bukan keperluanku lagi. Biarlah Allah
tangguhkannya buat sementara. Aku redha,=)”
#bersambung
p/s: Insya Allah jika
ada sahabat yang inginkan sambungannya akan saya ceritakan pada titipan akan
datang. Jika tidak cukuplah sekadar ini sahaja dari saya yang penuh dosa ini.
Mohon doa dari semua moga Allah memberikan saya kesihatan yang baik untuk terus
berdakwah dalam medium ini. Saya bukan penulis buku tapi saya hanya sekadar
insan yang hendak berkongsi ilmu! Saya bukan ustaz tapi saya juga sekadar hamba
Allah yang ingin menyampaikan sedikit nasihat! Syukran
Saya titipkan pesanan
ini buat sahabat :
1 comment:
Kalau dapat sambung entri ni, alhamdulillah. bagus sebab dpt membantu anak muda mcm saya ni juga utk muhasabah diri utk jauhi zina hati :)
Post a Comment