Di dalam hidup kita, kita sering mengimpikan
bahagia. Perkataan bahagia ini bukan hanya untuk diluah oleh kita semua tetapi
ia merupakan impian kita. Ia jalan di dalam menuju keredaan Tuhan. bahagia itu
tidak sekadar dicari tetapi ia harus dipelajari dan dihayati. Dengan apa kita memperoleh
bahagia? Dengan menuntut ilmu. Ilmu itu jambatan iman, ilmu itu talian untuk
kita mengenal Tuhan. bagaimana kita mahu mempelajari ilmu? Dengan membaca,
mendengar kuliah atau tazkirah berbicara dengan orang sekeliling dan dengan
melihat ciptaan Tuhan.
Banyak cara pelbagai gaya untuk kita memperolehi
ilmu. Terpulang pada kita untuk memilih ilmu yang mendekatkan diri kita dengan
Tuhan atau ilmu yang akan mengabdikan diri kita dengan syaitan. Oleh itu,
penting untuk kita mempelajari ilmu yang baik agar kebahagiaan kita di dunia
ini dapat di rasa dan dapat kita gapai. Mencari kebenaran pasti akan kita capai
kebahagiaan. Dasar bahagia tidak boleh datang sendiri. Kita harus mencari. Carilah
dengan hati yang suci bukan dengan perasaan ingin dihormati. Di mana letakkannya
kebahagian kita? Kebahagiaan itu terletak di dalam hati.
Hati merupakan kerajaan di dalam diri kita. Hati
mempengaruhi hampir keseluruhan fizikal kita. Tidak cukup sekadar kita
mempunyai akal untuk berfikir. Andai kita hanya punya akal tanpa ada rasa di hati
jadilah kita seperti gejala sosial hari ini, kes pembuangan anak, bunuh,
jenayah, rogol, zina, tidak menghormati ibu bapa menghantui kehidupan kita. Mereka
yang melakukan ini punya akal, punya minda yang mungkin waras tetapi mengapa
mereka tega melakukan perkara sedemikian rupa? Ini kerana hati dan jiwa mereka
sudah mati. Rasa dan ehsan mereka sudah terkebumi di dasar tanah yang tidak
berpenghuni.
Bahagia itu ada perkaitan dengan hati kita. Bahagia
datang, hati menjadi tenang, bahagia hilang, jiwa rasa terbuang. Kita selalu
memikirkan kebahagiaan diri kita sahaja. Apa yang penting kita bahagia. Biar orang
lain sengsara. Tafsiran ini harus kita lenyapkan di dalam diri kita. Sebagai sahabat,
sebagai anak, sebagai pelajar, sebagai ibu bapa dan sebagai suami isteri
bahagia itu harus kita bawa bersama bukan hanya kita sahaja yang merasa. Andai ada
di antara kita yang menerima ujian yang berat dari NYA, kita perlu memainkan
peranan kita. Ada di samping mereka, memberi dan membantu sekadar yang terdaya
dan sentiasa mengingatkan mereka tentang ujian dari NYA.
Bahagia ini selalunya berkait dengan
pasangan yang bercinta dan pasangan yang berumah tangga. Apalah guna hubungan
yang terjalin andai tiada ungkapan bahagia. Para hukama menyatakan bahawa
apabila kita berkahwin kita sering mengimpikan kebahagiaan di dalam rumah tangga
kita, sebenarnya jangan kita impikan kebahagiaan di dalam rumah tangga, tetapi
bawalah kebahagiaan itu bersama pasangan kita di alam rumah tangga. Sang suami
selalu menginginkan isterinya selalu menghargai dan menghormatinya. Benar isteri
harus taat kepada suami. Tetapi tidak adil seandainya hanya sang isteri sahaja
yang menaburkan bakti kepada suami. Suami juga harus menghargai dan menghormati
isteri. Kadang-kadang sang suami selalu mengharapkan isterinya memberi sesuatu
kepadanya tetapi dia tidak pula memberikan apa yang diminta oleh isterinya. Ini
tidak adil bagi kaum yang bernama wanita.
Dalam mencari bahagia rumah tangga. Suami juga
harus memberi, suami juga harus sama-sama membantu sang isteri. Contohi akhlak
baginda Rasulullah, teladani peribadinya tika bergelar suami yang dicintai
isteri. Bahagiakan mereka, jika kita juga hendak bahagia. Bersama seiringan bukan
hanya membiarkan pasangan kita sahaja yang menguruskan perihal rumah tangga. Kita
sebenarnya masih belum merasa bahagia jika orang yang ada di sekeliling kita
tidak bahagia!
Bahagia juga amat ditagihi oleh insan yang
di dalam pelayaran cinta. Bagi remaja yang punya watak ‘agama’, sudah hampir
berjuta karangan atau ayat cinta dinukilkannya kepada bakal zauj atau
zaujjahnya, diselit dengan doa bahagia. Kata-kata mutiara dipintal agar serasi
dengan kata-kata agama. Bagi remaja yang punya watak ‘biasa-biasa’ juga hebat
penangan mereka di dalam mencari bahagia. Bergambar berlaga pipi sehingga lupa
ada ahli keluarga yang terseksa di dalam perut bumi, dan bangga dengan hubungan
‘suami isteri’ yang mereka pamerkan di laman-laman sosial itu. Ingin saya
tegaskan, jodoh itu rahsia Allah. Saya ulangi, jodoh itu rahsia
Allah.
Bergambar akrab menyentuh sini dan sana dan
memberi segala sentuhan bahagia dan tidak malu pula memohon doa agar hubungan
mereka berkekalan. Bayangkan andai Rasulullah bersama kita. Dan kita minta doa
daripada Rasulullah moga hubungan kita dan dia ini kekal hingga ke akhir ayat. Apa
agaknya jawapan Rasulullah pada ketika itu. Kita bukan punya ikatan yang halal.
Mohon doa, moga kita terhindar dari semua dosa itu. Alam remaja penuh
pancaroba, terjebak dengan cinta di menara bahagia tidak dapat kita elakkan. Andai
sudah memulakan cinta, pastikan ia berada di dalam kawalan kita, elakkan dari
perkara yang membawa kita ke lembah zina. Banyakan berdoa, usah risau jika dia
sudah ditetapkan untuk kita pasti akan Allah kuatkan sayap kita untuk bertemu
dengannya pada hari yang paling bermakna nanti.
Cinta, cemburu dan bahagia sememangnya ada
pada remaja. Penangan cemburu hebat rasanya sehingga mampu mengugat hati dan
perasaan kita. Ubat untuk mengawal cemburu kita reka dan kita cipta. Membuat perjanjian
dengan pasangan supaya tiada berlaku pergaduhan dan sehinggalah termeterailah perjanjian
antara pasangan masing-masing. Kata laluan di akaun facebook bukan lagi
menjadi hak peribadi tetapi harus berkongsi. Antara kita dengan dia. Konon untuk
menduga setia. Saya teringat kata-kata dari seorang sahabat saya:
“Bodohla lelaki dan wanita yang memberikan
kata laluan (password) kepada pasangan mereka. Itu hak peribadi kita. Kenapa harus
diberikan. Hanya untuk menguji setia dan menambahkan kepercayaan? Kalau nak
mencari kekasih yang lain tidak perlu untuk berhubung di facebook, di telefon
pun boleh. Apabila password diberi, maka terbongkarlah segala-galanya, bukan
bahagia yang kita terima tetapi derita yang kita rasa. Setia itu bukan di lihat
di alam maya tetapi setia itu kita lihat pada kejujuran dia. Keikhlasan dia
menerima kita seadanya.”
Tusukan kata tajam dari sahabat saya itu. Bahagia
yang sebenarnya sudah lama ada di dalam diri kita. Kita harus mencari,
mempelajari dan membawa ia ke dalam hidup kita. Indahnya jika bahagia itu kita
rasa bersama dengan insan yang kita cinta. Bahagiakanlah orang lain nescaya
kita akan bahagia. Namun andai kebahagiaan yang kita lakukan kepada orang lain
itu tidak dihargai usah kita mengalah dan usah kita resah kerana bakti kita itu
tinggi di mata Ilahi. Akhir kalam, bawalah bahagia itu bersama. Hargai apa yang
ada di depan mata kita!
Ku cari Bahagia
Senandung jiwa mula meminta
Terasa sunyi gelap gelita
Bagai cahaya yang hilang di dalam kabus
malam
Sepi kosong mengisi tangisan yang suram
Di mana perginya bahagia itu
Siapa yang telah mencurinya
Nadi buntu jasad merayu
Kuncup jiwa tersiksa di kalbu
Diri kaku punah tak berpenunggu
Wahai Tuhan pencipta hati
Ku pohon agar dikurnia hati yang suci
Hati usang ini tidak lagi bernadi
Kotor hitam menyelubungi diri
Bongkah dosa makin menggunung tinggi
Allah pelihara kalbu imanku
Allah lindungi jasad dan rohku
Allah cucurilah mawaddahMU
Allah, Allah, Allah Ya Rahman Ya Rahim.
Husairi Hanafi
10.34
2 comments:
nice entri....kbhgiaan kita adlh bsama mrk yg mbahagiakn :)
Thank's kawan infonya !!!
www.kiostiket.com
Post a Comment