Labels

Pages

Followers

Sunday, August 26, 2012

♥Nikah itu Indah♥



Selamat berbahagia saya ucapkan kepada rakan-rakan saya yang telah berjaya mendirikan rumah tangga. Saban tahun sahabat handai sudah bertukar status mereka dari satu kini dua. Di ijabkan dengan ikatan yang halal. Membuang segala kotoran haram. Mereka kini akan menempuh mahligai perkahwinan. Terpulang pada nakhoda yang mengemudi pelayaran di lautan itu. Membawa ke arah yang sesat atau ke arah yang benar. Allah telah memberikan jalannya moga mereka mampu dan istiqamah dalam pelayaran itu.

Nikah di usia muda bukan semuanya memberikan isyarat Ya! Masih ada segelintir ibu bapa yang tidak boleh menerimanya. Bagi mereka, biarlah anak yang disayangi itu mempunyai pekerjaan dan harta untuk menyara keluarganya nanti. Saya sesekali tidak menyalahkan ibu bapa yang berpendapat sedemikian. Kita belajar dari pengalaman mereka. Bukan kerana terdidik dengan ikutan kawan tanpa usul periksa. Mungkin timbul kegusaran di dalam diri kedua-dua ibu bapa kita untuk melepaskan anak-anak mereka. Tidak mengapa. Jangan di risau atas halangan keluarga itu. Ia hanya bersifat sementara. Kita mengejar cita-cita kita dahulu pasti nanti mereka juga mengizinkan untuk kita mencari cinta kita.

Bukan semua ibu bapa begitu. Ada juga yang menyuruh anaknya melangsungkan perkahwinan pada usia muda. Bahkan, di dalam masyarakat Melayu sendiri, ada anak yang baru lahir itu pun sudah diikat dengan perjanjian pertunangan. Ini melibatkan antara kedua-dua ibu bapa kita dan pihak di sana. Bagi mereka lebih baik bernikah dari melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Namun jangan sesekali kita melupakan jasa dan pengorbanan mereka dalam membesarkan kita. Isteri dan suami sudah menjadi gelaran kita tetapi jangan diabai tanggungjawab kepada keluarga kita. Jika seorang Isteri syurganya terletak di bawah telapak kaki suami, begitu juga dengan seorang suami, syurganya terletak di bawah telapak kaki ibu.

Nikah itu indah sifatnya. Menjadikannya payah dan susah apabila bercampur dengan adatnya. Kadang-kadang pernikahan menjadi lambat dek kerana terikat dengan adat, perkahwinan menjadi payah dek kerana terlalu mengikut adat. Seolah-olah berdosa pernikahan tanpa melakukan sesuatu mengikut adat. Saya bukan penentang adat Melayu. Saya pencipta budaya, adat dan sastera Melayu! Kita berpindah pula di dalam soal hantaran. Hantaran terlalu tinggi dan mahal! Gusar hati melihat hantaran dari pihak kawan-kawan yang ingin melangsungkan perkahwinan mencecah puluhan ribu. Ibu bapa seakan berbangga dengan hantaran tinggi itu. Bahkan ada yang berlawan. Siapa yang paling mahal dan hebat kendurinya dialah yang akan dikatakan sebagai ibu bapa terhebat di alam semesta. Perkahwinan persis Yusri dan Erra Fazira suatu ketika dahulu tetapi kesudahannya? Lisa Surihani yang menjadi suri di hati Yusri. Anak menantu terpaksa berhutang di sana di sini untuk menjadi raja sehari. Parah! Tidakkah mereka terfikir akan kesan selepas perkahwinan nanti. Adakah perkahwinan yang bahagia sementara yang diimpikan  atau perkahwinan yang bahagia selamanya yang diidamkan.

Sebenarnya Islam mengejar kita suatu kemudahan di dalam semua perkara merangkumi hidup kita. Islam adalah cara hidup kita. Islam The Way Of Life! Sebagai contoh, sekiranya kita bermusafir, diberikan kita rukhsah dan keringanan di dalam menunaikan solat. Begitu juga dengan pernikahan. Tidak perlu hantaran tinggi dan walimat sebesar perkahwinan anak menteri. Cukup sekadar mengikut apa yang disunahkan oleh nabi. Mungkin ada yang takut diperli oleh kerabat yang hadir. Kata mereka, majlis perkahwinan tidak meriah! Tidak Gah! Bukan itu yang menjadi ukuran di dalam pernikahan. Perkahwinan berlandaskan syariat, akhlak dan ibadat yang menjadi titik penentu kebahagiaan di dalam pernikahan. Buat kamu putera dan puteri di sana masihkan anda mengingati  maksud hadis nabi ini. ~ Sesungguhnya wanita-wanita yang paling diberkati dan menjadi keutamaan adalah yang paling rendah mas kahwinnya ( Riwayat Ibn Hibban)~ dan ~Wanita-wanita yang paling diberkati dikalangan umatku adalah yang paling rendah mas kahwinnya (Riwayat Ahmad)~

Pernikahan itu indah, bentuklah ia supaya menjadi lebih gemersik dan bersenandung. Banyak rahsia tersimpan di dalamnya. Bagi sahabat yang sudah mendirikan alam pertunangan ingatlah akan maksud hadis nabi ini ~Rahsiakan pertunangan dan sebarkan pernikahan~. Saya tidak sesekali menyalahkan sahabat saya yang telah mengupload gambar pertunangan mereka di Facebook, blog atau di twitter mungkin mereka masih belum diberitahu akan hal ini. Oleh itu, rasa terdetik di hati untuk memberi peringatan kepada diri dan anda semua. Jadikanlah pertunangan kita di dalam kesederhanaan dan kerahsiaan. Tidak perlu untuk mengupload gambar-gambar itu di facebook. Cukuplah sekadar keluarga terdekat dan Allah yang mengetahui akan perihal ini. Bukan apa, kita takut menjadi fitnah buat anda dan pasangan anda. Saya bukan mendoakan perkara yang buruk tetapi sekadar peringatan sebelum terkena.

Kita dipertemukan (Nikah) dengan nama Allah dan dengan Allah jugalah kita jadikan rujukan sepanjang kehidupan kita berumah tangga. Buat para isteri di luar sana, taatilah suamimu setulusnya. Jagalah ia sebaik mungkin kerana dia merupakan kilang untukmu membuat pahala. Buat para isteri juga, jangan gentar akan ketaatanmu yang tidak dihargai oleh sang suami kerana bukan balasan dari suami yang dikau pinta tetapi hanya kerana Allah semata-mata. Contohilah sifat Asiah, dia berbuat baik kepada Firaun bukan kerana mengharapkan balasan dari  Firaun tetapi dek kerana perintah Allah yang menyuruhnya mentaati suami.

Buat para suami juga, peliharalah, hargailah mahligaimu yang ada di depan mata. Wanita itu umpama tulang yang bengkok. Andai tersalah bentuklah ia dengan penuh hemah dan hiasilah ia dengan penuh hikmah. Isterimu juga menjadi kilang untuk dikau menyemai pahala. Pahalanya lebih hebat dari apa yang terdapat di dalam Bank dunia!. Tanggungjawab kini terlepas kepada anda. Dulu di pangkuan bapa kini ia berada di istana anda. Jalankan segala amanah yang telah diserahkan itu dengan sebaiknya. Usah sesekali menyakitinya. Dia penyeri hidup kita. Ingatkan akan perjanjian kita selepas lafaz sakinah kita ucapkan. Hayati perjanjian itu! Selamat pengantin baru kepada sahabat semua yang telah berjaya mendirikan rumah tangga.Semoga berkekalan hingga ke ahkir hayat. Kutiplah mutiara-mutiara indah di alam itu!

p/s : Sekadar perkongsian minda dari penulis. Harus diingat, penulis masih belum mendirikan rumah tangga ye.Hehehe


Saya hadiahkan lagu ini buat semua.
Saat Lafaz Sakinah
-Far East-

Heningnya
Sunyi suasana
Lafaz sakinah bermula

Apa rasa
Diterjemah hanya
Sebak abah tangis ibunda

Adalah aku wali puteriku
Serah kini amanahku ini padamu
Nafkahilah dia curah kasih dan cinta
Lebih dari yang ku berikan kepadanya


Dulu esakannya sandar di bahuku
Tangisannya kini ku serah padamu
Bukan bermakna dia bukan milikku
Fitrahnya perlukanmu
Jadikanlah dia wanita syurga
Mengerti benar akan maharnya
Taat itu bukan hanya pada nama
Indah ia pada maksudnya

Ku akur
Akan pesanmu
Puterimu kini amanahku

Iringilah
Dengan doamu
Bahagia kami dari redhamu

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...