Salam pertemuan buat pembaca semua.
Alhamdulillah masih lagi dapat kita bersua dan masih lagi dapat saya menitip
sedikit bicara. Mudah-mudahan bicara pada kali ini dapat menjadi ubat buat kita
semua. Saya akui, penulisan saya ini tidaklah sehebat mana tetapi saya ingin
menabur bakti pada semua. Moga nanti ada ganjaran saya di sana kelak.
LETIH, satu perkataan yang selalu kita
ungkapkan. Desakan kerja yang menggunung, bebanan tugas yang tinggi melangit
menyebabkan fizikal kita menjadi tidak tentu arah. Di sini perlu kita ketahui
bahawa pengurusan waktu yang baik amat penting untuk kita. Allah telah
memberikan kita 24 jam sehari. Cukup dan teramat cukup bagi kita untuk
menggunakannya. Masa akan mencemburui kita seandainya kita curang terhadap
masa. Bagaimana? Kita melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kita
mengadu badan dan minda mengalami keletihan tetapi bukan disebabkan dengan
aktiviti senaman atau membaca Quran tetapi kita khayal dengan laman maya di
taman dan lena dengan angan-angan yang tak berkesudahan.
Ubahlah dan perbaiki diri kita supaya
menjadi insan yang punya tenaga. Walau penat dan letih tetapi kita masih mampu
bangkit untuk meneruskan dakwah demi agama. Biar kita letih di dalam menuntut
ilmu jangan kita ketagih di dalam melakukan perkara yang tidak bermutu! Segala
apa yang kita ada ini semuanya pinjaman dari yang maha Esa termasuklah diri
kita sendiri. Siapa kita untuk berkira dengan Allah. Jika masa kita banyak
terluang untuk urusan di dunia jangan sekali kita sempitkan ruang masa kita
pula untuk urusan Akhirat!
SAKIT, andai kita letih mudah untuk kita
menerima sakit. Tapi sakit kita boleh diubati dengan mendengar ayat-ayat dan
zikir Ilahi. Percayalah. Al-Quran dan doa mampu menyembuh segala keletihan dan
kesakitan yang kita hadapi. Allah yang memberikan penyakit dan Allah jua yang
menyembuhkan penyakit. Tiada penyakit yang tidak dapat diubati melainkan mati.
Saya tertarik dengan kata-kata seorang Doktor terkenal di tanah air kita.
Menurut beliau, ketika kita ditimpa penyakit, jangan sesekali kita mengeluh
sakit dan menyatakan bahawa kita tidak
sihat. Perkataan ini akan menghantar mesej kepada otak kita dan menyebabkan
pesanan yang negatif kepada tubuh badan kita.
Elakkan dari mengucapkannya tetapi banyakan
dari menyebut ayat- ayat Allah dan positifkan perkataan kita itu. Kita Sihat
dengan izin Allah! Sakit itu tanda Allah sayang pada kita. Perit itu tanda
Allah menguji kita. Jangan sesekali kita berduka, hadapi ia dengan tabah. Ramai
orang apabila ditimpa dengan penyakit yang membahayakan akan merasakan diri
mereka tidak berguna lagi dan hanya menunggu masa untuk kita bertemu Ilahi.
Jangan sesekali berfikir sebegitu rupa. Ingat! Allah maha Besar dan Allah yang
maha kuasa. Kun Fayakun. Apa sahaja yang Allah hendak ciptakan atau
rencana pasti ia akan terjadi. Pasti! Begitu juga dengan penyakit kita, walau
kritikal mana pun seandainya Allah akan
menyembuhkan penyakit kita itu pasti akan sembuh. Semuanya dengan izin Allah.
SEDIH, ia juga merupakan satu ujian dari Allah.
Di dalam hidup kita ini tidak semestinya semua yang kita lalui akan berasa
indah dan damai. Pasti ada duka, pasti ada rencah gempita. Namun kita harus
tabah dan redha dalam menghadapinya. Ramai orang apabila dia menerima kehidupan
yang indah mula lupa pada Penciptanya tetapi apabila dia ditimpa musibah mula
ingin dekat dengan Penciptanya. Begitulah lumrah kehidupan. Layak sebenarnya
kita diibaratkan ‘kacang lupakan kulit’. Tetapi tidak layak untuk kita
melupakan Allah. Allah pencipta kita. Allah maha Agung, raja segala raja. Allah
menguji kita dengan rasa sedih agar kita kembali kepada NYA, agar kita
muhasabah diri kita yang hina ini. Begitulah hebatnya perasaan negatif yang
Allah kurniakan kepada kita tetapi terkandung berjuta simbol positif mengapa Allah
ciptakan perasaan itu.
Sedih itu perlu ada pada diri kita. Dengan air
mata keinsafan akan mampu menghindarkan diri kita dari api neraka. Alirkanlah air
mata keinsafan agar kita mampu menghasilkan tenaga kekuatan sebagai hamba Allah
yang mempunyai banyak taklifan di dunia ini. Sedih dengan cinta manusia, Allah
tempat kita mengadu, sedih dengan kehidupan, Al-Quran menjadi rujukan, sedih
dengan tohmahan, jadikan nabi sebagai panduan dalam menerima ujian. Ubat
kesedihan kita ini akan menjadi penawar pada kepayahan kita di dalam kehidupan.
Bergembiralah dalam menerima ujian. Kita tidak dapat menggembirakan orang lain
selagi mana kita tidak merasa gembira dengan diri kita.
Sebagai kesimpulannya, semua rasa yang kita
rasa ini adalah datang dari Allah S.W.T dan jangan sesekali kita menyerah kalah
di atas ujian ini. Dekatkan diri kita
pada Allah, Eratkan hati kita untuk sentiasa mengingati Allah. Ketenangan itu
akan hadir jika kita merasa Allah ada di sisi kita. Maksiat itu akan terhenti
mengalir andai kita yakin Allah sentiasa memerhatikan kita.
Love Allah
No comments:
Post a Comment