Labels

Pages

Followers

Saturday, October 27, 2012

Dia, Pelengkap Hidup Kita



Salam Aidiladha buat pembaca semua. Dalam kesibukan kita meraikan hari yang mulia, jangan kita lupa amal ibadah kita pada Allah. Tingkatkan segala momentum amal kita untuk mencari ganjaran di akhirat nanti. Eratkan cinta kita pada yang Esa moga nanti kita dapat menyemai bunga pahala yang tidak terhitung barakahnya.

Lengkap dan melengkapi itulah rencah dalam perhubungan. Setiap perkara yang diciptakan oleh Allah kepada makhluknya juga pasti disertakan dengan pasangan. Lihat sahaja bagaimana penciptaan manusia dan haiwan? Adanya pasangan untuk menambahkan keturunan dan waris mereka. Jurai keturunan tidak akan terhasil seandainya hanya satu jantina sahaja yang ada di muka bumi ini. Itulah hebatnya kuasa Allah. Kenang kembali kisah duka Adam di syurga, baginda bersendu rasa tika diri keseorangan, kerinduan menggamit jiwa. Allah tahu akan setiap apa yang direncana. Diciptakan pula hawa pengubat duka Adam, penyeri bahtera kehidupan mereka di syurga. Baginda insan pertama yang diberikan pasangan hidup oleh Allah s.w.t

            Begitulah senandung kehidupan. Hidup kita perlukan pasangan. Tapi bukan yang haram! Saya tegaskan sekali lagi bukan yang HARAM? Apa yang dimaksudkan dengan haram itu ialah, hubungan yang dijalin tanpa ikatan pernikahan. Bagaimana pula dengan status pertunangan? Ya. Ia masih lagi haram. Haram untuk kita bersentuhan! Ramai di antara kita yang keliru bahawa apabila sudah mengikat tali pertunangan boleh menyentuh itu dan ini. Touch n go! Bagi yang sudah terlanjur melakukannya kembalilah ke pangkal jalan. Sabarlah dalam bersabar. Apabila ia halal buat kita nanti. Buatlah apa sahaja yang kita inginkan. Sebagaimana maksud firman Allah ~ “Isteri kamu adalah ladang-ladang kamu, oleh itu datangilah ladang tersebut sesuka hati kamu” Al-Baqarah, 223~

Mengakui kelemahan kita dan pasangan kita itu salah satu kunci utama dalam membawa bahagia rumah tangga. Setiap manusia itu punya banyak kekurangan, oleh itulah Allah ciptakan pasangan kita untuk menampung segala kekurangan yang kita ada dan begitu juga dengan dia, kita menjadi pelengkap kehidupannya. Amat sukar jika kita menginginkan pasangan yang betul-betul sempurna yang tiada langsung cacat cela. Siapa kita terlalu memilih dengan jodoh yang dihadiahkan oleh Allah kepada kita. Rasulullah juga punya pasangan hidup, Rasulullah juga punya isteri yang ada banyak ragam dan rasa tetapi kebijaksanaan dan keadilan baginda mampu memberikan ceria pada isteri-isterinya. Kekurangan mereka diubati dengan keadilan Rasulullah.

Lucu apabila membaca kisah seorang hamba Allah, yang berkahwin kali ke 11 dan semua perkahwinannya itu berakhir dengan penceraian. Menurut beliau, punca penceraian berlaku adalah kerana dia sukar untuk mencari isteri yang terbaik dan solehah. Siapa sebenarnya insan ini. Jika ada yang menggelarnya ustaz, dia tidak layak mendapat gelaran ustaz, jika ada yang memanggilnya imam, dia tidak mungkin mampu menggalas tugas sebagai imam. Suara yang lunak tidak cukup untuk mengukir kejituan akhlak! Sebenarnya bagi saya bukan isterinya yang tidak baik dan solehah tetapi dia sendiri yang tidak soleh dan baik! Mana mungkin sampai 11 kali berkahwin tiada langsung bertemu titik kebahagiaan. Adakah sekadar alasan ataupun sekadar tuntutan nafsu semata-mata. Marilah kita sama-sama mendoakan insan ini supaya bertemu jodoh.

Andai apa yang ditakdirkan itu tidak menepati cita rasanya, jadikanlah ia sebagai ujian dan tanggungjawab. Di dalam perkahwinan, kita bukan mencari bahagia tetapi kita membawa bahagia itu bersama dengan kita! Saya tertarik dengan kata-kata tokoh terkenal di tanah air kita menurut beliau di dalam perkahwinan nanti ada tiga tahap untuk kita mengenal pasangan kita tahap yang pertama siapa dia sebelum kita berkahwin dengannya, tahap yang kedua siapa dia ketika berkahwin dengan kita dan tahap ketiga bagaimana keadaan dia apabila sudah berkahwin dengan kita.

Analogi pelengkap kehidupan ini mudah, lihat sahaja motosikal. Bagaimana kita mampu memboncengnya jika ia hanya punya satu tayar sahaja, mungkin boleh berjalan tetapi masih tidak sempurna. Hakikat dan realiti dia memerlukan 2 tayar untuk membawa kita! Kedua-kedua tayar itu saling lengkap melengkapi. Kita mampu bergerak dengan mudah. Begitulah dengan kehidupan seandainya pasangan kita itu punya kekurangan, kita menjadi penawar untuk mengubat kekurangannya itu. Pelengkap kedua-duanya akan menghasilkan satu natijah bahagia di luar jangka. Hidup dengan berpadu hati pasti akan menghasilkan sebuah ikatan kehidupan yang suci!


1 comment:

man said...

selamat hari raya aidiladha...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...