Labels

Pages

Followers

Monday, September 17, 2012

Membawa ‘Dia’ Sampai Ke Syurga



~Allah s.w.t berfirman, “ Pasti akan mendapat cintaKu kepada orang-orang yang cinta mencintai kerana Aku, saling kunjung mengunjungi kerana Aku dan saling memberi kerana Aku” (Hadis Qudsi)~

 “Saya cinta awak kerana Allah”. Indahnya jika ungkapan ini dipraktikkan dan bukan sekadar melafaznya dibibir sahaja. Jika benar kita cinta ‘dia’ kerana Allah mengapa harus kita membawa ‘dia’ melanggar hukum Allah. Inilah tafsiran yang salah pada remaja kita. Menggunakan agama bagi menghalalkan percintaan mereka. Kita harus sedar syaitan itu kreatif hasutannya dan licik permainannya. Jika benar Allah sebagai matlamat utama kita, bimbinglah ‘dia’ supaya bersama-sama mengingati Allah bukan memimpin ‘dia’ supaya sentiasa mengingati kita.

Benar, hubungan dengan manusia akan menjadi jalan untuk kita menjaga dan mendekatkan diri dengan Allah. Tapi kita harus pandai memilih hubungan yang bagaimana yang perlu kita zahirkan. Hubungan itu mestilah hubungan yang tidak membawa kepada perkara-perkara yang maksiat. Yakinlah bahawa hubungan yang akrab dengan Allah pasti akan membentuk hubungan yang erat sesama manusia. Matlamat utama kita mencari si ‘dia’ bukan sekadar untuk menjadi peneman yang halal di dalam hidup kita tetapi mencari untuk menjadi insan yang akan bersama dengan kita di syurga nanti. Siapa yang kita cintai didunia ini, itulah yang akan bersama dengan kita di akhirat nanti. Cintailah orang yang mencintai kita tetapi harus diingati akan peraturan-peraturan di dalam bercinta. Awas pada maksiat dan jauhi diri dari Zina.

Lucu apabila ada ungkapan dari pemuda pemudi kita yang begitu mengharapkan cinta. Baik yang puterinya sering mengungkapkan kata kata seperti “ menunggu bakal imamku” atau yang puteranya pula “ mencari gerangan siapa makmumku”. Hebat ayat dan pengharapan ini. Benar-benar serius dalam menunggu! Bagi saya, tidak perlu kita menguar-uarkan akan hal ini. Kita tidak perlu menunggu siapa imam dan makmum kita kerana bukankah jodoh itu sudah ditetapkan dan menjadi rahsia Allah. Jika ingin sangat menunggu tok-tok imam dan makmum sila pergi ke masjid atau surau dan nyatakan hasrat anda itu. Sekadar gurauan. Ingat jodoh itu datang dan pasti datang apabila tepat masa, waktu, siapa dan ketikanya. Pasti datang!

Sekarang ini kita harus persiapkan diri kita menjadi soleh dan solehah. Cukupkan dulu bakti kita kepada ibu bapa. 9 bulan 10 hari mereka mengandungkan kita. Kenang jasa mereka. Jika kita cinta akan ‘dia’, bukan sahaja ‘dia’ menjadi matlamat kita membawanya ke syurga tetapi seluruh ahli keluarga kita dan ‘dia’ untuk bersama-sama kita di syurga nanti. Memang berat untuk dilaksanakan tetapi jika kita percaya dengan bantuan Allah pasti kita akan dapat melakukannya. InsyaAllah. Tulisan saya sebelum ini pun  ada membicarakan soal cinta dan remaja. Bukan bertujuan untuk mengkritik para remaja yang tengah hangat bercinta tetapi sekadar memberi peringatan kepada diri saya dan anda semua bahawa cinta pada ‘dia’ boleh sahaja membawa kita ke neraka atau syurga tetapi cinta kita pada yang Esa sudah pasti akan dijamin syurga.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...