Labels

Pages

Followers

Saturday, September 29, 2012

Akhirnya, Kita bertemu jua...


Salam, Alhamdulillah kesempatan yang ditunggu-tunggu akhirnya bersua juga. Allah pertemukan saya dengan idola saya. Jika dahulu saya hanya membaca karya-karyanya dan hanya mampu membayangkan sahaja gaya penyampaiannya dan jika dahulu mata hanya mampu melihat sosok tubuhnya di kaca televisyen dan telinga hanya mampu mendengar lunak suaranya di corong radio. Kata-katanya terpancar hikmah, susunan bicaranya penuh berhemah dan memberi kuasa pada hati yang lemah.

Setiap kali membaca karya-karyanya saya berbisik di dalam hati, mudah-mudahan suatu hari nanti saya dapat berbicara dan bersua muka dengan insan yang saya hormati ini. Allah memberikan suatu ilmu yang luar biasa kepadanya. Lisannya mudah diterima, nasihatnya mekar untuk dibaja. Saya berdoa moga dapat dipertemukan dengan insan ini. Susun kata dari karyanya begitu mudah meresapi ke jiwa saya. Bermula dengan memahami kitabnya –Nota Hati Seorang Lelaki akhirnya saya sudah jatuh cinta dengan kitab beliau yang seterusnya sehinggalah yang terbaru ini –Cinta Kerana Allah.

Saya juga bersyukur kerana mampu memperkenalkan karya-karya idola saya ini kepada sahabat saya. Alhamdulillah mereka juga terpengaruh. Moga ada bekal saya di sana nanti. Ameen. Allah itu maha kaya, Maha Pemurah dan Maha segala-galanya. 28 September 2012, Jumaat penghulu segala hari. Impian yang dinanti-nanti akhirnya dipenuhi Ilahi. Saya berpeluang menghadiri slot bicara ilmu yang disampaikan sendiri oleh beliau. Syukur, kerana akhirnya Allah berikan kesempatan untuk bertemu dengannya.

Namun hati saya gusar, adakah saya hanya dapat melihat beliau berbicara dikejauhan sahaja. Saya santuni diri mendengar setiap inci bicara dari beliau. Saya amati setiap kata-kata beliau. Saat berlalu saat, minit beransur minit dan jam berlari laju hingga ke akhir bicaranya. Tamat sudah bicara dari beliau. Allah, begitu banyak ilmu yang diberi. Moga dapat meresapi di dalam diri. Hati berbisik, ini mungkin peluang pertama untuk saya bertemu dengan beliau.

Saya berdoa dalam hati. ‘Rabbi Yassir Wala Tuassir’. Mudah-mudahan dapat bertemu dengan tokoh ini. Seusai menyampai bicara, beliau bergegas ke meja ‘meletak tanda’. Beliau dikejar oleh dua orang pemuda dan mereka sempat merakam gambar dengannya. Alahai cemburu rasa dijiwa. Takdir Allah, saya bergerak langkah ke arahnya dan disambut dengan senyuman manis. Bagai berjumpa para ulama. Senyuman penuh ilmu wajah berseri cerminan lelaki firdausi.

Dua keping potret dapat dirakamkan! Beliau memegang bahu saya. Seperti anak dan bapa bertemu kali pertama akrab seperti sudah lama bersua. Saya melafaz bicara

“Ustaz, ana nak jumpa ustaz boleh? Nak minta tandatangan dan sedikit ilmu ustaz.”

“InsyaAllah. Boleh..” Jawab beliau.

Saya begitu teruja, lebih teruja dari bertemu raja. Dia duduk ke meja melakar tinta. Sekejap sahaja dikerumuni oleh penagih ilmu seperti saya. Kitab beliau silih berganti menyalin tinta. Agar semua dapat merasa. Saya sabar menanti. Kini giliran saya. Malu untuk mengeluarkan kitab-kitabnya dari beg besar saya. Tapi saya gagahkan juga lalu terpancarlah kata-kata dari beberapa orang kaum hawa..
“MasyaAllah banyaknya die kumpul buku ustaz..”

Saya hanya diam. Dan hanya membiarkan mereka. Sempat juga saya mempromosikan buku beliau kepada mereka. Mungkin ada sebuah buku kecil (Duhai yang Tersayang) berjaya mendapat hati mereka. Saya hulurkan semua buku itu kepada Insan tersebut. Melihat saya yang menghulurkannya beliau lalu berkata

“MasyaAllah, awak kumpul semua buku saya. Saya suka sangat. Mudah-mudahan ada ilmu yang berguna. Doakan moga saya panjang umur dan sihat tubuh badan ye.”

“Syukran Ustaz. InsyaAllah, mohon doa dari Ustaz juga ye, moga saya dapat menjadi seperti ustaz.” Jawab saya

“Husairi, ambik kos ape?”

“Gulp..” Saya terdiam, bagaimana beliau boleh mengetahui nama saya. Rupa-rupanya di dalam buku itu ada tertulis nama saya.

Seusai menandatangani perjanjian.. maaf, buku beliau. Sekali lagi saya berkesempatan untuk merakam sebuah potret dengan beliau. Kemudian beliau memeluk saya seeratnya dan memegang kopiah saya. Bagai ada doa yang dibaca beliau. Saya terasa ada resapan ilmu dan semangat beliau. Allah, mudah-mudahan saya dapat menjadi seperti beliau.

Sempat saya berbicara. “Ustaz saya mohon izin menggunakan kata-kata dakwah ustaz di blog dan karya saya.”

Beliau lalu berkata “ Silakan Husairi. Teruskan, teruskan berdakwah, teruskan berkarya. Moga Allah merahmati kita.”

Mudah-mudahan kami akan bertemu lagi atau dapat sama-sama berganding bahu menyampaikan ilmu agama ini. Ameen..=)

Antara gambar yang sempat dirakamkan bersama beliau. Terima kasih Ustaz Pahrol Mohamad Juoi….










1 comment:

Meis Izz said...

Baru-baru ni pun ada beli sebuah buku ustaz kat Ekspo Buku Islam Pahang...
memang ustaz yg hebat..!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...