Salam, Alhamdulillah kesempatan yang ditunggu-tunggu
akhirnya bersua juga. Allah pertemukan saya dengan idola saya. Jika dahulu saya
hanya membaca karya-karyanya dan hanya mampu membayangkan sahaja gaya
penyampaiannya dan jika dahulu mata hanya mampu melihat sosok tubuhnya di kaca
televisyen dan telinga hanya mampu mendengar lunak suaranya di corong radio.
Kata-katanya terpancar hikmah, susunan bicaranya penuh berhemah dan memberi
kuasa pada hati yang lemah.
Setiap kali membaca karya-karyanya saya
berbisik di dalam hati, mudah-mudahan suatu hari nanti saya dapat berbicara dan
bersua muka dengan insan yang saya hormati ini. Allah memberikan suatu ilmu
yang luar biasa kepadanya. Lisannya mudah diterima, nasihatnya mekar untuk
dibaja. Saya berdoa moga dapat dipertemukan dengan insan ini. Susun kata dari
karyanya begitu mudah meresapi ke jiwa saya. Bermula dengan memahami kitabnya
–Nota Hati Seorang Lelaki akhirnya saya sudah jatuh cinta dengan kitab beliau
yang seterusnya sehinggalah yang terbaru ini –Cinta Kerana Allah.
Saya juga bersyukur kerana mampu
memperkenalkan karya-karya idola saya ini kepada sahabat saya. Alhamdulillah
mereka juga terpengaruh. Moga ada bekal saya di sana nanti. Ameen. Allah itu
maha kaya, Maha Pemurah dan Maha segala-galanya. 28 September 2012, Jumaat
penghulu segala hari. Impian yang dinanti-nanti akhirnya dipenuhi Ilahi. Saya
berpeluang menghadiri slot bicara ilmu yang disampaikan sendiri oleh beliau.
Syukur, kerana akhirnya Allah berikan kesempatan untuk bertemu dengannya.
Namun hati saya gusar, adakah saya hanya
dapat melihat beliau berbicara dikejauhan sahaja. Saya santuni diri mendengar
setiap inci bicara dari beliau. Saya amati setiap kata-kata beliau. Saat
berlalu saat, minit beransur minit dan jam berlari laju hingga ke akhir
bicaranya. Tamat sudah bicara dari beliau. Allah, begitu banyak ilmu yang
diberi. Moga dapat meresapi di dalam diri. Hati berbisik, ini mungkin peluang
pertama untuk saya bertemu dengan beliau.
Saya berdoa dalam hati. ‘Rabbi Yassir Wala
Tuassir’. Mudah-mudahan dapat bertemu dengan tokoh ini. Seusai menyampai
bicara, beliau bergegas ke meja ‘meletak tanda’. Beliau dikejar oleh dua orang
pemuda dan mereka sempat merakam gambar dengannya. Alahai cemburu rasa dijiwa.
Takdir Allah, saya bergerak langkah ke arahnya dan disambut dengan senyuman
manis. Bagai berjumpa para ulama. Senyuman penuh ilmu wajah berseri cerminan
lelaki firdausi.
Dua
keping potret dapat dirakamkan! Beliau memegang bahu saya. Seperti anak dan
bapa bertemu kali pertama akrab seperti sudah lama bersua. Saya melafaz bicara
“Ustaz, ana nak jumpa ustaz boleh? Nak
minta tandatangan dan sedikit ilmu ustaz.”
“InsyaAllah. Boleh..” Jawab beliau.
Saya begitu teruja, lebih teruja dari
bertemu raja. Dia duduk ke meja melakar tinta. Sekejap sahaja dikerumuni oleh
penagih ilmu seperti saya. Kitab beliau silih berganti menyalin tinta. Agar
semua dapat merasa. Saya sabar menanti. Kini giliran saya. Malu untuk
mengeluarkan kitab-kitabnya dari beg besar saya. Tapi saya gagahkan juga lalu
terpancarlah kata-kata dari beberapa orang kaum hawa..
“MasyaAllah banyaknya die kumpul buku ustaz..”
Saya hanya diam. Dan hanya membiarkan mereka.
Sempat juga saya mempromosikan buku beliau kepada mereka. Mungkin ada sebuah
buku kecil (Duhai yang Tersayang) berjaya mendapat hati mereka. Saya hulurkan
semua buku itu kepada Insan tersebut. Melihat saya yang menghulurkannya beliau
lalu berkata
“MasyaAllah, awak kumpul semua buku saya.
Saya suka sangat. Mudah-mudahan ada ilmu yang berguna. Doakan moga saya panjang
umur dan sihat tubuh badan ye.”
“Syukran Ustaz. InsyaAllah, mohon doa dari
Ustaz juga ye, moga saya dapat menjadi seperti ustaz.” Jawab saya
“Husairi, ambik kos ape?”
“Gulp..” Saya terdiam, bagaimana beliau
boleh mengetahui nama saya. Rupa-rupanya di dalam buku itu ada tertulis nama
saya.
Seusai menandatangani perjanjian.. maaf,
buku beliau. Sekali lagi saya berkesempatan untuk merakam sebuah potret dengan
beliau. Kemudian beliau memeluk saya seeratnya dan memegang kopiah saya. Bagai
ada doa yang dibaca beliau. Saya terasa ada resapan ilmu dan semangat beliau.
Allah, mudah-mudahan saya dapat menjadi seperti beliau.
Sempat saya berbicara. “Ustaz saya mohon
izin menggunakan kata-kata dakwah ustaz di blog dan karya saya.”
Beliau lalu berkata “ Silakan Husairi.
Teruskan, teruskan berdakwah, teruskan berkarya. Moga Allah merahmati kita.”
Mudah-mudahan kami akan bertemu lagi atau
dapat sama-sama berganding bahu menyampaikan ilmu agama ini. Ameen..=)
Antara gambar yang sempat dirakamkan
bersama beliau. Terima kasih Ustaz Pahrol Mohamad Juoi….
1 comment:
Baru-baru ni pun ada beli sebuah buku ustaz kat Ekspo Buku Islam Pahang...
memang ustaz yg hebat..!
Post a Comment