Terdetik rasa di hati untuk berbicara soal
politik kampus. Walaupun penulis masih mempunyai banyak tanggungjawab yang
perlu dilaksanakan tetapi penulis merasakan penting untuk dikongsikan kepada
mereka di luar sana. Terutama kepada mereka yang akan bergelar pemimpin dan kepada
mereka yang ingin memilih pemimpin. Hati dan rasa membuat penulis untuk menitipkan bicara politik kampus ini. Walaupun
penulis bukanlah penyokong tegar daripada mana-mana parti politik di kampus
tetapi penulis merasakan ada sesuatu yang perlu diberitahu dan untuk kita
fikirkan sejenak.
Jawatan
dan kuasa dapat memberikan kita suatu kelebihan di luar jangka. Jika dahulu
kita tidak punya apa-apa tetapi setelah menerima amanah dari NYA kita menjadi
seorang insan yang berkuasa, kita menjadi pemimpin, kita menjadi pembawa kepada
suara-suara mereka. Nah, Allah telah memilih kita Allah telah mentakdirkan kita
untuk menjadi seorang insan yang digelar pemimpin. Pemimpin bukan suatu
kebahagiaan tetapi suatu ujian. Pemimpin bukan suatu jawatan yang boleh
menggerunkan lawan tetapi boleh mendatangkan murka Tuhan andai kita tidak
tidak berpegang pada Taqwa dan Iman.
Selalunya di dalam pilihan raya kampus akan
berlaku pertembungan dua kuasa besar dua parti besar di dalam pilihan raya
kampus. Parti itu dinamakan Pro Mahasiswa dan Pro Aspirasi. Antara
pihak kerajaan dan pihak pembangkang di kampus. Pilihan semua di tangan kita. Kita
berhak memilih siapa yang kita kehendaki. Tetapi pastikan pilihan kita itu
adalah pilihan yang benar kerana nanti kita juga akan di soal seandainya kita
memilih pemimpin yang salah.
Rapat umum sememangnya satu ‘event’
yang ditunggu-tunggu oleh golongan yang bertanding untuk melontarkan buah
fikiran, desakan, rayuan dan sebagainya. Bagi calon-calon yang bertanding ini
merupakan titik mula untuk mereka memperkatakan apa yang mereka akan lakukan
sekiranya mereka memenangi jawatan pemimpin itu nanti. Ada bermacam-macam gaya,
ada pelbagai suara dan ada juga lantunan kata dari penyokong-penyokong mereka. Bagi
yang inginkan kebenaran mereka terus melawan. Melawan bukan bererti
menentang tetapi melawan untuk mencari kebenaran untuk diberikan kebebasan
sebagai manusia ciptaan Tuhan. mereka memohon suara mereka didengar hanya
sekali hanya untuk diberikan kepercayaan.
Bagi calon yang sudah tahu akan
kemenangannya tidak perlu lagi untuk menjerit dan merayu undi. Mereka sudah
dipilih, mereka sudah dilantik. Tetapi bukan dari suara mahasiswa. Dalam istilah
‘menang tanpa bertanding’. Ya. Ini biasa, sudah menjadi biasa tetapi, apabila
mencecah jumlah yang banyak ia menjadi sesuatu yang agak luar biasa. Awas!
Berhati hati dengan istilah ‘pilihan’ dan ‘lantikan’. Muhasabah
diri anda. Ramai yang akan cuba mencari kesalahan. Allah sudah mencaturkan
sesuatu buat mereka. Kita terima dengan redha tetapi kita teruskan
menyokong dan menegur andai mereka melakukan kekhilafan. Walau kita punya beza
fahaman tetapi jangan kita tentang sesuatu yang membawa kebaikan dan walau kita
berlainan perjuangan tetapi biarlah kita seia dalam melaksanakan hukum Tuhan.
Ingin penulis
tegaskan di sini, penulisan ini bukan untuk menghentam sesiapa tetapi sekadar
pandangan bebas dari diri penulis sendiri yang telus dari lubuk hati. Pemimpin
perlu laksanakan apa yang mereka katakan. Pemimpin bukan hanya pandai dalam
syarahan untuk menjadi calon pilihan tetapi pemimpin juga harus bijak dalam
perlakuan harus cerdik di dalam penilaian. Pemimpin bukan suatu jawatan yang
perlu dibanggakan. Ingat! Jalan ke syurga itu banyak laluan, tetapi jika
kepimpinan ini boleh membawa anda ke syurga terimalah dengan redha. Lakukan
amanah dengan jaya dan laksanakan setiap apa yang dikau kata. Sendainya nanti
dikau alpa apabila sudah berkuasa ingatlah akan maksud ayat Allah ini ~ Wahai orang-orang yang
beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? 3.
Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak
kamu kerjakan. QS. Al-Shaff: 2-3.
Sebagai pemimpin kita bukan
hanya pandai berkata-kata. Berjanji itu dan ini. Mungkin kita melihat mereka
itu dari sudut luaran sahaja. Punya muka yang cantik dan kacak, ada poster
menceritakan kehebatan mereka dan diuarkan ke sini dan ke sana. Itu hanya pada
pandangan mata. Kita hanya melihat mereka dari sudut itu. Tetapi jika kita
kenal siapa mereka sebelum mereka menjadi orang yang berkuasa, berfikirlah
sebelum kita memilih mereka. Jika mereka sudah berubah menjadi baik itu bonus
kepada kita tetapi jika apabila mereka berkuasa dan perangai lebih teruk dari
apa yang kita sangka itu akan memberikan defisit buat kita!
Apabila diri sudah menerima
lantikan nanti, jangan kita lupa pada yang setia dan jangan kita tinggal pada
yang berdoa. Teruskan bersama, kita tetap kita. Jawatan hanya ada di universiti
tetapi apabila keluar dari gedung itu ia sudah tiada. Di saat itu kita perlu
kepada orang-orang yang bersama dengan kita. Jangan lupa pada insan yang
bernama sahabat. Jangan hanya memberi kasih kepada pengampu-pengampu hebat
jangan hanya suka pada kawan yang pandai memutar ayat tapi setialah bersama
sahabat yang mengenali kita bermula dari kita menjejak langkah ke menari gading
ini sehinggalah kita sudah mengecapi apa yang kia ada sekarang. Penulis amat
tertarik dengan kata-kata seorang tokoh politik tanah air iaitu ~ Tangan
yang membangunkan kamu ketika kamu rebah adalah lebih benar daripada seribu
tangan yang bersalam denganmu ketika kamu sampai~ Buat pemimpin yang bakal
menaiki kerusi tinggi nanti dengarlah akan ungkapan ini ~ kita kena akrab
dengan manusia untuk mengetahui masalah mereka, tetapi kita kena akrab dengan Allah
untuk membantu mereka menyelesaikan masalah itu.~ Walau siapa kita jangan
sesekali kita lupakan kepada Pencipta kita.
Menjadi pemimpin bukanlah
sesuatu yang boleh kita banggakan. Sebelum mengarahkan orang lain, kita perlu
mengarah diri kita. Sebelum membuat perubahan kepada orang lain kita sendiri
perlu merubah diri kita. Ingatlah! perubahan kita akan mengubah orang lain.
Bila menaiki jawatan pemimpin jangan sesekali kita merasakan diri kita bagus!
Kita mesti tahu aib yang ada pada diri kita. Kerana apa? Untuk
memastikan bahawa kita sedar siapa diri kita yang sebenarnya. Kata Imam Ghazali
ada 4 cara untuk kita mengetahui aib kita pertama melalui guru kita kedua,
melalui sahabat kita ketiga, melalui musuh kita dan keempat melalui masyarat.
Merekalah yang akan memberitahu keaiban kita. Terima dengan yakin. Lakukan
perubahan, terima segala teguran jangan menjadi keras seperti batu dilautan.
Dengar suara yang menegur walau mereka bukan siapa-siapa. Jangan sesekali takut akan membuat kesalahan
jangan sesekali kita merasakan diri kita baik! Tetapi didiklah diri kita
supaya sentiasa hendak menjadi yang terbaik. Orang yang baik akan lihat
kebaikan walaupun apa yang diterimanya itu merupakan ujian kepahitan.
Kata imam Shafie, ‘Belajarlah
sebelum jadi pemimpin’. Kita sebagai pemimpin bukan memimpin. Ilmu agama
menjadi panduan. Perbanyakkan amalan kita dengan membaca, mendengar
majlis-majlis ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu dunia dan akhirat. Ilmu itu
jambatan Iman. Lengkapkan diri kita dengan ilmu asas aqidah, akhlak, fiqah.
Andai nanti bila kita bertemu dengan pemimpin yang berlainan agama kita dapat
berhemah jika ada yang bersilat kata. Perlakuan kita dalam bicara dipandu
dengan ajaran agama. Mungkin ia menjadi dakwah dan mungkin akan terhindar dari
fitnah. Bila bermesyuarah jangan kita menjadi orang nombor satu menyokong
majlis-majlis yang mendatangkan murka Allah. Tangani dengan penuh hemah dan
helah agar tidak ada yang melatah.
Buat pemimpin yang bakal
mewakili mahasiswa nanti, jangan dikau gusar atas nama fitnah. Andai dirimu
terfitnah berdoalah kepada Allah sebagaimana golongan sufi berdoa ~Ya Allah
seandainya apa yang mereka katakan itu benar terhadap kesalahan diriku DIKAU
ampunilah dan terimalah taubatku, Tetapi Ya Allah seandainya apa yang mereka
katakan terhadap diriku itu perkara yang tidak benar DIKAU ampunkanlah mereka
dan terimalah taubat mereka~. Terimalah amanah ini dengan redha, ranjau
pasti menanti di hadapan kita tetapi jika kita ingin menjadi pemimpin yang baik,
teladanilah maksud hadis nabi ini ~ untuk menjadi pemimpin yang baik, para
pemimpin mestilah menjadi khadam kepada pengikutnya. Pemimpin merupakan ‘gembala’
kepada pengikutnya.~
Sebelum penulis menutup
bicara ini, ingin sekali penulis tinggalkan sedikit cerita mengenai Umar
Al-Khatab. Sayidina Umar pernah bertanya kepada sahabat-sahabatnya, ‘Jika aku
telah melantik orang yang baik sebagai pemimpin pembantuku, apakah aku telah
melaksanakan amanah kepimpinan dengan baik?’ Sahabat-sahabatnya menjawab ‘Sudah
tentu wahai Amirul Mukminin.’. Sebaliknya Umar menjawab, ‘Belum. Sehingga
aku memastikan orang baik itu melaksanakan kebaikannya!’
Buat mahasiswa di luar sana
selamat menjalankan tanggungjawab anda. Pilihlah kepimpinan yang tepat. Buat sahabat
semua yang akan bergelar pemimpin, laksanakanlah amanah itu dengan baik. Ingatlah
setiap perbuatan yang kita lakukan nanti akan dipersoalkan diakhirat kelak.
Jangan mudah menyerah andai diri di panah, jangan merasa kalah andai musuh
datang meratah! Mengadulah pada Allah, contohilah perjuangan baginda
Rasulullah. Andai nanti usaha yang kita lakukan tidak mendapat penghargaan
redhalah. Biar ia kabur di mata manusia tapi tidak di mata Pencipta kita. Biar kita
banyak persatuan tapi kita punya satu kesatuan. Akhir kalam. Penulis memohon
maaf andai tulisan ini ada mengguris hati sesiapa. Hanya sekadar pandangan
penulis. Pemimpin itu dakwah, kepimpinan itu amanah, dan memimpin juga boleh
menjadi fitnah.
p/s : penulis turut
menggunakan buku yang bertajuk Dilema Melayu Islam : Kurang Fikir atau kurang
zikir karangan Ustaz Pahrol Mohd Juoi di dalam menambah rasa dan perisa bagi
menyedapkan isi di dalam ulasan ini.
No comments:
Post a Comment